Rencana

Gara-gara protes, Hata Wahari dibaling sebungkus bihun kakitangan Utusan Malaysia

GARA-GARA memprotes Utusan Malaysia agar menjalankan etika kewartawan yang baik dan tidak perkaumanan, Mohd Hata Wahari menerima padah apabila dibaling sebungkus bihun.

Ini membuktikan Utusan Malaysia tidak boleh meneriam teguran dan tidak ada modal lain selain hanya mampu membaling bihun kepada pengkritik.

Mohd Hata seperti yang kita kenali adalah bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) dan bekas wartawan kanan Utusan Malaysia yang berkhidmat selama 15 tahun kini memilih DAP sebagai wadah perjuangannya.

Dalam satu wawancara eksklusif Roketkini.com sebelum ini, Mohd Hata berkata, kebebasan media adalah satu daripada agenda yang mahu diperjuangkan. Bukannya kebebasan media yang mempromosi fitnah dan tuduhan tak berasas.

Dituduh penyokong pembangkang

Ketika berkhidmat dengan Utusan Malaysia, Mohd Hata cuba sebaik mungkin untuk mengetengahkan liputan berita daripada parti lain. Beliau secara senyap cuba mewujudkan kebebasan media dalam Utusan Malaysia.

Malangnya beliau dituduh penyokong oposisi dan tuduhan dangkal sebegitu sudah tentu melanggar prinsip sebagai seorang newsman.

Masa mengubah segalanya, pada 2010, Mohd Hata menonjolkan perjuangan secara terang-terangan. Beliau mengambil langkah ke hadapan bercakap, berwacana mengenai kebebasan media dan kebebasan bersuara.

Kebebasan bersuara dan kebebasan media bagi Mohd Hata tidak lengkap, paling penting adalah menjadi seorang wartawan yang bertanggungjawab. Oleh kerana Utusan Malaysia nampaknya tidak begitu gemar kepada kewartawanan yang bertanggungjawab, Mohd Hata dipecat daripada Utusan Malaysia.

“Dalam tempoh memegang jawatan Presiden NUJ, saya banyak menegur Utusan Malaysia dan akhbar perdana yang berat sebelah, dan etika kewartawanan tidak betul yang tidak seharusnya dilaksanakan seperti membuat tuduhan, pelbagai fitnah terhadap parti politik, individu tertentu, termasuk Pakatan Rakyat.

“Sifat kewartawanan seperti itu yang perlu dikutuk. Itu kita tak mahu. Maksudnya, kebebasan media bukan saja setakat pengeluaran permit, tetapi kita mahu rombakan sepenuhnya industri media ini. Maknanya kita mencadangkan mewujudkan Majlis Media Malaysia yang dikawal secara terus oleh Parlimen dan majlis inilah yang akan membuat apa-apa keputusan daripada segi industri media itu,” ujar beliau kepada Roketkini.com.

Ditanya mengapa beliau menyertai DAP, Mohd Hata berkata, perjuangan DAP sangat jelas iaitu untuk menjadikan Malaysia negara yang bebas rasuah dan mengikut lunas undang-undang.

“DAP paling banyak bercakap mengenai kebebasan, kebebasan informasi, kebebasan media, kebebasan bersuara, jadi saya fikir ianya sesuai. Saya fikir prinsip saya lebih sesuai dengan DAP. Prinsipnya ialah untuk independently survive, berjuang secara meritokrasi, tak perlukan orang sokong kita untuk hidup dalam politik,” kata Mohd Hata.

Mohd Hata berkelulusan Sarjana Muda Komunikasi Massa (Perhubungan Awam) dari Institut Teknologi Mara (ITM) Shah Alam pada 1993 (sekarang Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan berpengalaman bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Esso Production Malaysia Inc di Ketereh, Terengganu.

Selepas setahun iaitu pada 1994, beliau kemudiannya menceburkan diri dalam bidang kewartawanan bermula di Harian Watan untuk beberapa bulan sebelum secara rasminya menyertai Utusan Malaysia pada Mei 1995.-Roketkini.com