Berita

Pegawai Khas Zairil diserang, dihentak dengan topi keledar

GEORGE TOWN, 21 MEI: Pegawai Khas Ahli Parlimen Bukit Bendera diserang sekumpulan samseng dipercayai penyokong Perkasa dan Barisan Nasional (BN) dari kawasan Sungai Dua, Pulau Pinang ketika perhimpunan nyalaan lilin di pintu masuk Universiti Sains Malaysia (USM), semalam.

Rozaimin Elias, pegawai khas kepada Zairil Khir Johari itu mendakwa diserang dan dihentak dengan topi keledar oleh 15 orang yang datang menimbulkan kekacauan pada perhimpunan aman mendesak pembebasan aktivis mahasiswa Adam Adli itu.

Selain Rozaimin, seorang lagi pembantu Zairil, Akmal Zakaria turut dikasari bersama beberapa mahasiswa USM dan aktivis SUARAM Pulau Pinang serta dua wartawan.

Pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang, Zairil memberitahu kejadian itu berlaku kira-kira jam 8.45 malam, sekumpulan remaja memakai topi keledar dan kemaja-t 1Malaysia cuba mengacau perhimpunan terbabit.

Berikutan itu, kekecohan tercetus dan kekerasan berlaku antara kumpulan mahasiswa dan samseng 1Malaysia itu. Satu lagi kumpulan dari kalangan samseng itu dikatakan telah melarikan diri dan meninggalkan tempat kejadian.

Menurut Rozaimin, seorang daripada lelaki dalam kumpulan samseng itu ialah bekas Timbalan Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Norman Dahlan.

“Dia ada dalam geng tu, tapi duduk berdiri kat tepi tengok budak-budak dia pukul kami,” ujar Rozaimin, sambil menambah bahawa perhimpunan itu aman dan tidak ada sebarang keperluan untuk bertindak biadab dan menimbulkan kekecohan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kenyataan medianya petang tadi turut mengecam tindakan samseng terbabit.

“Amat menyedihkan apabila polis Cawangan Khas yang hadir tidak mengambil tindakan terhadap samseng berkenaan.

“Saya akan menulis surat kepada Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi untuk mendesak supaya tindakan diambil terhadap samseng terbabit,” ujar Guan Eng. – Roketkini.com