Isu Semasa

Ceupacs tidak patut turut boikot Air Asia, Air Asia X

GEORGE TOWN, 22 MEI: Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman sepatutnya bertindak sebagai seorang Presiden Cuepacs untuk semua dan tidak mengambil bahagian dalam tindakan perkauman Utusan Malaysia atau UMNO.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata Datuk Omar jelas terlupa bahawa dalam Cuepacs ada Melayu yang tidak rasis dan bukan Melayu di dalam perkhidmatan awam.

Beliau menganggap Cuepacs salah kerana menyertai Utusan Malaysia memboikot Air Asia dan Air Asia X dan patut menjadi sebuah pertubuhan perkauman tetapi berkhidmat kepada semua penjawat awam di Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

“Datuk Omar telah menyertai Utusan Malaysia dan menyeru Air Asia dan Air Asia X diboikot, dengan menyatakan bahawa kuasa 1.4 juta penjawat awam boleh memberi kesan terhadap Air Asia, terutamanya pada musim cuti sekolah.

“Cuepacs sangat salah apabila menyertai usaha Utusan Malaysia memboikot Air Asia dan Air Asia X,” katanya dalam kenyataan media di Komtar, hari ini.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, kenyataan bongkak Omar menggunakan kuasa Cuepacs hanyalah lagak kosong kerana beliau tidak mampu memastikan undi 1.4 juta penjawat awam kepada BN pada pilihan raya umum lalu sehingga menyebabkan BN menjadi parti minoriti hanya meraih 47% undi popular berbanding Pakatan Rakyat yang memperolehi 51% undi popular.

Menurut beliau, Utusan Malaysia telah menjadikan kedua-dua syarikat penerbangan itu sasaran, selepas Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia X mengutuk Utusan Malaysia kerana tajuk berita yang menimbulkan provokasi perkauman yang mensasarkan masyarakat Cina berikutan kekalahan BN pada PRU-13, 5 Mei lalu.

“Tindakan tidak bertanggungjawab pertubuhan perkauman itu menjadikan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke arah rekonsiliasi nasional dan 1Malaysia sekadar satu janji kosong.

“Tindakan perkauman Utusan Malaysia mengikut jejak kempen penyokong BN untuk memboikot produk pengguna perniagaan masyarakat Cina bagi menghukum komuniti berkenaan kerana menyokong Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata, kempen perkauman sedemikian dengan menyalahkan masyarakat Cina dan menjadikan mereka kambing hitam bertujuan menyembunyikan hakikat bahawa BN kehilangan sokongan orang Melayu hingga menyebabkan Pakatan Rakyat menang undi popular sebanyak 51%.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri Pulau Pinang mendesak Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang baru, Datuk Hasan Malek tidak mempertahankan kempen boikot berasaskan kaum dan bertindak terhadap organisasi perkauman berkenaan.

“Dewan Perniagaan Melayu dan Cina sudah menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan perlu segera campur tangan untuk memberhentikan kempen ‘tidak sihat, kebudak-budakan dan perkauman’ sebelum ia memberi impak buruk kepada pertumbuhan ekonomi.

“Pertubuhan perkauman ini cukup membuat kerosakan bukan saja kepada perpaduan nasional tetapi juga imej negara apabila membenarkan boikot produk berasaskan perkauman ini berterusan, Malaysia akan dilihat sebagai tidak jauh bezanya berbanding rejim perkauman seperti rejim apartheid Afrika Selatan, malah turut membawa kesan negatif kepada ekonomi,” tambahnya.-Roketkini.com