Berita

Setiap rakyat, termasuk bayi, kena bayar RM1,000 setahun; Pakatan akan lawan usaha BN kenakan cukai GST

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Jika kerajaan Barisan Nasional mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 7%, ia akan menjadi bencana inflasi paling buruk dalam sejarah Negara, terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah. Ini adalah kerana cukai GST merangkumi semua barangan yang dibeli dan dijual.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, dengan kos tambahan ke atas rakyat Malaysia sebanyak RM27 bilion setahun, maka setiap rakyat tanpa kira dewasa atau kanak-kanak akan dibebankan dengan RM 1,000 seorang setiap setahun.

Dengan itu, katanya, satu keluarga 5 beranak terpaksa membayar RM5,000 setahun kepada kerajaan.

“Itulah sebabnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak begitu yakin dapat memberi BR1M sebanyak RM 1,200 setahun kepada setiap keluarga kerana dia boleh dapat balik RM5,000 setahun daripada keluarga yang menerima BR1M melalui cukai GST.

“Memang BN akan untung banyak sedangkan rakyat Malaysia, khususnya yang berpendapatan rendah, akan rugi besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menjelaskan bahawa Pakatan Rakyat secara prinsip menolak sistem cukai penggunaan GST itu atau “consumption tax” kerana rakyat terbanyak belum mempunyai pendapatan yang munasabah bagi mampu menjalani kehidupan yang bermaruah dan mampan.

“Macam mana boleh hidup lebih bermaruah bila hanya 60 peratus dari isirumah mempunyai pendapatan kurang dari RM3,000 sebulan?” soal beliau kepada kerajaan BN.

Menurut Laporan Tahunan Bank Negara 2012, Malaysia merupakan negara yang banyak berhutang dengan hutang peribadi setiap keluarga adalah RM 755 bilion or 81% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pertumbuhan hutang keluarga adalah 11%, yang lebih tinggi daripada pertumbuhan KDNK sebanyak 7.8%.

Dengan itu, Guan Eng berkata, rakyat tidak boleh dipersalahkan jika rakyat berhutang kerana kerajaan Malaysia di bawah BN sendiri telah berhutang sampai RM502 bilion pada akhir 2012, iaitu hampir 55% KDNK negara.

“Lagipun keluarga Malaysia membayar 50% daripada pendapatan untuk membayar balik hutang.

“Dengan kata lain selepas membayar hutang, mana cukup untuk perbelanjaan makanan, pengangkutan, pendidikan dan keperluan asas lain?

“Itulah sebabnya PR menentang cukai GST 7% kerana ia hanya akan membebankan keluarga miskin dengan menambahkan perbelanjaan setiap keluarga sekurang-kurangnya RM5,000 setahun,” tambah beliau.

Menurutnya, PR akan menentang cadangan BN untuk melaksanakan cukai GST 7% di Parlimen dengan mengingatkan BN bahawa sebagai sebuah kerajaan minoriti dengan undi popular 47% sahaja, ia tidak berhak mengenakan cukai GST ini ke atas majoriti rakyat. – Roketkini.com