Berita

Wakil rakyat DAP sedia isytihar aset: Tony Pua

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Semua wakil rakyat DAP bersedia mengisytiharkan aset mereka seperti yang dicadangkan panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) walaupun badan pencegahan rasuah itu “kurang kredibiliti”.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, DAP bersetuju dengan cadangan panel SPRM itu kerana ia adalah langkah positif untuk memastikan integriti, dan meningkatkan kepercayaan bagi mengekang gejala rasuah.

Bagaimanapun, beliau menolak pengisytiharan itu hanya dibuat kepada SPRM.

Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan berkata, sejak lima tahun kebelakangan ini, SPRM juga tidak menyiasat dengan kompeten gejala rasuah “ikan jerung” dalam parti pemerintah.

“SPRM dilihat tidak begitu adil kerana hanya mensasarkan wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat apabila memburu di Selangor dengan merampas fail Ahli Dewan Undangan Negeri dan menggeledah pejabat kerajaan negeri tanpa bukti kukuh dengan harapan akan memperoleh bukti perlakuan rasuah atau salah guna kuasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Panel dengan lapan anggota itu dalam kenyataannya semalam mencadangkan supaya semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) mengisytiharkan harta mereka setiap tiga tahun kepada SPRM.

Langkah itu dikatakan bagi memastikan komitmen mereka dalam memerangi dan membanteras rasuah.

Menurut panel berkenaan, dengan pengisytiharan harta oleh semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri maka keraguan terhadap pertambahan aset sepanjang memegang jawatan dapat dihindari.

Bagaimanapun, menurut Pua, semua wakil rakyat DAP sudah menandatangani Akujanji Integriti pada 11 Mei lalu ketika Persidangan Kebangsaan Wakil Rakyat Terpilih, yang turut memasukkan klausa “pengisytiharan aset kepada umum sebaik sahaja dilantik ke jawatan eksekutif kerajaan” sama ada di peringkat negeri atau Pusat.

“Exco kerajaan negeri di Pulau Pinang dan Selangor sudah mengisytiharkan aset mereka secara terbuka dan saya sendiri bersedia mengisytiharkan aset secara terbuka kerana saya tahu apa sahaja aset yang ada diperoleh dengan cara yang baik tanpa sesen pun daripada duit pembayar cukai atau korupsi,” tambahnya.

Beliau berkata, apa yang kurang adalah komitmen pengisytiharan aset oleh Perdana Menteri termasuk SPRM akan membuktikan kurangnya keikhlasan untuk membanteras rasuah, terutamanya bagi mereka yang berkuasa di negara ini.

Panel berkenaan yang dipengerusikan Datuk Johan Jaaffar turut  mencadangkan anggota keluarga jemaah Menteri dan Menteri Besar termasuk kumpulan anggota jawatankuasa negeri dilarang terbabit dengan kontrak kerajaan.

Menurutnya, anggota pentadbiran kerajaan peringkat pusat dan negeri serta ahli keluarga terdekat mereka dinasihatkan tidak membabitkan diri dalam permohonan atau membida kontrak kerajaan.

Mereka turut mencadangkan agar diwujudkan tempoh bertenang sebelum membenarkan penjawat awam yang bersara memegang jawatan korporat atau pengamalan profesional dalam sesebuah syarikat atau firma bagi mengelak berlakunya gejala rasuah.

“Keadaan itu boleh menimbulkan konflik kepentingan kerana mereka boleh memanfaatkan pengetahuan, pengaruh dan peranan ketika berkhidmat dalam kerajaan untuk kepentingan masa pencen. Ia juga merupakan ‘insuran’ atau jaminan bagi mereka apabila meninggalkan jawatan awam.

“Risiko kesalahan rasuah juga boleh berlaku kerana pegawai yang bakal bersara itu berpeluang memanfaatkan kedudukan awamnya untuk melobi jawatan atau faedah peribadi tertentu bagi dirinya apabila bersara nanti,” katanya.-Roketkini.com