Berita

DAP, PR rangka pelan UBAH Putrajaya, Sabah pada PRU seterusnya

KOTA KINABALU, 23 MEI: Pemimpin DAP dan Pakatan Rakyat (PR) sedang menganalisis keputusan Pilihan Raya Umum Sabah untuk merangka pelan tindakan bagi memulakan kempen susulan bagi memenangi hati majoriti rakyat negeri di bawah bayu itu kerana pilihan raya seterusnya akan menjadi dua perjuangan untuk UBAH di Putrajaya dan Kerajaan Negeri Sabah.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, perkara yang perlu diberi perhatian pada keputusan pilihan raya Sabah termasuk kekalahan besar Presiden UPKO dan Menteri Kabinet, Bernard Dompok di Parlimen Penampang.

Menurutnya, kemenangan tipis Presiden PBS, Joseph Pairin Kitingan di Parlimen Keningau dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan semata-mata kerana undi pecah di kalangan oposisi.

“Kemerosotan menyedihkan Presiden PBS itu mengangkat harapan rakyat Sabah, terutamanya Kadazan-Dusun-Murut ketika pilihan raya kecil Tambunan yang hebat dan bersejarah pada Disember 1984, sehingga Joseph Pairin hilangan sengat 30 tahun lalu apabila hanya mampu memenangi Tambunan dan Keningau dengan undi kecil!

“Kejayaan Jeremy Malajad Malazad (PKR) di Kadamaian, menewaskan Herbert Lagadan patut menjadi mesej jelas kepada kerajaan Negeri Sabah bahawa mereka perlu mendengar suara rakyat, terutamanya tentangan hebat projek empangan RM450 juta Tambatuon. Keputusan calon SAPP, terutama di Tawau,” katanya dalam kenyataan hari ini..

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, Dewan Undangan Negeri Sabah baru akan mengangkat sumpah pada 13 Jun ini dan akan bersidang antara 17 hingga 20 Jun yang menjanjikan era baru politik Sabah.

Katanya, Setiausaha Negeri DAP dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kepayan, Dr Edwin Bosi akan menjadi whip untuk DAP.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu, Barisan Nasional (BN) sudah hilang majoriti dua pertiga di DUN Sabah sekiranya DAP dan PR benar-benar ada sistem “satu orang, satu undi, satu nilai”.

Dengan 55.78 peratus daripada jumlah undi keseluruhan bagi 60 kerusi DUN Sabah iaitu 427,890 undi, BN sepatutnya hanya mendapat 34 kerusi bukannya memenangi 48 kerusi  iaitu 80% kerusi DUN.

Ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat iaitu PKR, DAP dan PAS yang bertanding di 60 kerusi DUN mendapat 248,185 undi atau 32.36% daripada jumlah undi keseluruhan, dan sepatutnya memenangi 20 kerusi DUN bukannya hanya 11 (iaitu 18.33% daripada 60 kerusi).

STAR yang meletakkan 47 calon DUN, memenangi hanya satu kerusi dengan 5.63% daripada jumlah undi keseluruhan sementara SAPP bertanding di 41 kerusi dengan 28,305 undi atau 3.69% jumlah undi keseluruhan, tidak memenangi sebarang kerusi.

Sekalipun oposisi yang kuat dan bersemangat sudah dipulihkan selepas dua dekad ketiadaannya, dengan 11 ADUN Pakatan Rakyat (empat DAP dan tujuh PKR) dan satu daripada STAR, PRU-13 merupakan pengajaran berharga buat oposisi di Sabah, yakni BN sudah tentu kalah lagi empat kerusi Parlimen dan lapan kerusi DUN jika tidak kerana undi pecah di kalangan calon oposisi.

Empat kawasan Parlimen itu adalah Keningau, Kota Marudu, Pensiangan dan Tenon sementara lapan kerusi DUN adalah Elopura, Melalap, Kundasang, Liawan, Paginatan, Kiulu, Nabawan dan Tambunan.- Roketkini.com