Berita

Permulaan zaman baru Najib gelap, kutuk tindakan kejam KDN

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong mengutuk dan mengecam tindakan kejam Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang merampas akhbar The Rocket, Harakah dan Suara Keadilan bertujuan menakutkan masyarakat sebaliknya mahu rakyat taat kepada pemerintahan rejim Barisan Nasional (BN).

Katanya, dalam satu operasi penguatkuasaan semalam, KDN merampas 1,408 naskah Suara Keadilan, 1,062 Harakah (1,062 naskah), dan The Rocket 70 naskah mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Beliau berkata, ini menunjukkan kebebasan dan hak asasi rakyat Malaysia tergugat dengan tindakan kekerasan yang dilakukan kerajaan BN terhadap lawan politiknya dengan dengan penangkapan beberapa aktivis politik dan sekatan ke atas media alternatif.

Ini berikutan penahanan pemimpin PKR, PAS, DAP dan aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Datuk Tamrin Ghafar, Haris Ibrahim serta aktivis pelajar Adam Adli yang akan didakwa mengikut Akta Hasutan.

Penasihat DAP, Dr Chen Man Hin: Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming; ADUN Bilut, Chow Yu Hui dan Adun Ketari, Lee Chin Chen juga dipanggil untuk memberi keterangan terhadap pelbagai kenyataan yang dibuat ketika Pilihan Raya Umum ke-13 baru-baru ini.

Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang berkata, ini adalah satu tindakan kejam seperti Ops Lalang pada 1987, sekaligus memperlihatkan sikap sebenar Menteri Dalam Negeri baru, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengalami mimpi ngeri terhadap musuh politiknya berikutan kemerosotan BN pada PRU-13, 5 Mei lalu.

“Politik yang berasaskan ketakutan dan ancaman sentiasa menjadi lambang pentadbiran BN dan Perdana Menteri berturut-turut, khususnya Tun Mahathir, yang memperalatkan Kementerian Dalam Negeri, polis, dan undang-undang untuk menindas dan mengekalkan kuasa.

“Walaupun slogan menenangkan orang ramai selepas BN kehilangan banyak kerusi, Najib melakukan ‘kerja kotor’ menggunakan Kementerian Dalam Negeri, yang konon untuk memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat, sedangkan bertujuan melindungi orang tertentu.

“Sekarang jelas Kementerian Dalam Negeri diwujudkan untuk berkhidmat kepada tuan-tuan politik, dan bukan kepentingan rakyat,” ujarnya.-Roketkini.com