Berita

Kongres Nasional PKR: Lawan penipuan BN dan mantapkan kepimpinan

PETALING JAYA, 25 MEI: Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang ke-9 telah pun membuka tirainya semalam di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan memberi penekanan khusus kepada beberapa topik utama.

Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail dalam ucapan perasmiannya pagi ini mendesak agar ‘kerajaan minoriti BN’ bersama-sama dengan majoriti rakyat Malaysia agar mengukuhkan semula sistem demokrasi yang diamalkan negara ini melalui Agenda Pemulihan Demokrasi.

“Agenda Pemulihan Demokrasi ini dilakukan melalui reformasi politik iaitu reformasi pilihan raya dan reformasi Parlimen sebelum menawarkan perdamaian (reconciliation),” katanya.

Beliau berkata demikian kerana ada pemimpin BN yang sombong dan angkuh menyeru sesiapa yang tidak bersetuju dengan sistem pilihan raya negara supaya berpindah ke negara lain.

Dalam masa yang sama Wan Azizah mencadangkan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diperluaskan ke seluruh negara berikutan wujud dakwaan banyak lebihan kertas undi serta pemberian kad pengenalan kepada warga asing.

“PKR dengan ini mencadangkan supaya ditubuhkan satu RCI bagi menyiasat projek pemberian kad pengenalan sepertimana yang terbukti berlaku di Sabah agar diperluaskan ke seluruh negara,” ujar beliau.

Beliau juga menyifatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak hanya gagal menjamin proses pilihan raya yang bersih dan adil, malah terlibat dalam jenayah penipuan bagi pihak Barisan Nasional.

Menarik perhatian, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dalam ucaptamanya semalam memberi penekanan dan galakkan kepada penglibatan golongan muda dan wanita bersama politik, kepimpinan, pengkaderan, pemerkasaan parti dan latihan.

“Apabila anak muda dan wanita diberi peluang dan sokongan, mereka juga akan berjaya. Justeru, saya menggesa kepimpinan parti untuk terus memberi dorongan dan ruang kepada generasi muda dan wanita untuk diberikan tanggungjawab yang lebih besar dalam kepimpinan parti.

“Organisasi dan kepimpinan yang diterajui anak muda berpotensi menggerakkan organisasi dengan lebih efektif dan tampil dengan idea baru yang segar dalam aspek ekonomi, budaya dan politik,” ujar beliau.

Menurut Azmin, iltizam politik dan prinsip perjuangan yang teguh adalah faktor kejayaan demi perubahan besar dalam lanskap politik negara.

“Kita mesti mengambil peluang ini untuk kembali tenang dan bermuhasabah, merenung serta kembali mengatur langkah untuk memperkukuhkan sokongan rakyat.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak turut menekankan peri pentingnya tarbiyah ataupun latihan dan pendidikan kepada seluruh kepimpinan parti dan tidak hanya terbatas kepada gerak kerja pilihan raya sahaja.

“Apa yang kita perlu lakukan adalah pembangunan parti secara menyeluruh melibatkan beberapa aspek iaitu pembangunan, kepimpinan, perkaderan, organisasi dan kewangan.

“Pembangunan kepimpinan bermaksud tarbiyah kepimpinan dari segi intelektual, keperibadian dan political skill,” kata Azmin.

Beliau berpandangan, sebagai sebuah parti massa, PKR perlu sentiasa menambah keanggotaan parti. Pun demikian beliau menambah bahawa kuantiti anggota tidak akan menjamin kekuatan parti justeru latihan perlu diberikan dari masa ke masa.

Kongres PKR pada kali ini diselubungi dengan warna hitam sebagai tema dengan slogan ‘Suara Rakyat, Suara Keramat’. Lebih 2,500 perwakilan dan pemerhati serta jemputan khas dari luar negara hadir. Kongres akan berlangsung selama dua hari bermula semalam dan berakhir pada hari ini. – Roketkini.com