Berita

“Kita pilih demokrasi, siapa mahu guling kerajaan melalui jalanraya?” – Mahdzir Ibrahim

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Demonstrasi jalanan dengan tujuan menggulingkan kerajaan amat tidak tepat dengan perhimpunan aman yang menuntut kerajaan untuk bersikap adil yang mana dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Tuduhan semberono media kawalan UMNO yang mendakwa Pakatan Rakyat (PR) mahu membuat huru-hara akibat tewas dalam Pilihan Raya Umum ke 13 lalu merupakan satu tuduhan jahat kerana mampu mencetuskan salah faham dan keadaan panik rakyat negara ini.

Bagi Setiausaha Politik Pengarah Pendidikan Politik DAP, Mahdzir Ibrahim, apa yang dituntut PR sekarang adalah tindakan dan jawapan SPR mengenai semua persoalan yang timbul berkaitan penipuan yang berlaku.

“PR tidak mahu kerajaan digulingkan dengan cara yang tidak demokratik. Itu bukan prinsip kita. Kita mahu SPR bersikap adil dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.

Mahdzir pada masa yang sama mengakui bahawa PR memang tewas di beberapa buah kerusi yang ditandingi kerana ia benar-benar tewas bukan disebabkan SPR atau lain-lain pihak melakukan penipuan.

Pun demikian, beliau berkata terdapat banyak aduan dan laporan wujud keraguan di beberapa kerusi PR yang tewas.

“SPR harus tegas menghalang dan mengelak sebarang ruang dari berlakunya penipuan atau kesalahan dalam proses pilihan raya.

“Jika terbukti semua laporan itu, mereka (SPR) wajar meminta maaf pada rakyat Malaysia kerana pilihan raya kita dan demokrasi telah tercemar akibat kelemahan mereka sendiri,” ujar beliau.

Bermula 23 Mei lalu, SPR telah memberi tempoh 21 hari kepada semua parti-parti politik untuk memfailkan petisyen atau bantahan terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke 13.

Ketua Biro Undang-undang DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo berkata sehingga hari ini DAP sedang dalam proses mengumpul bukti dan membuat keputusan untuk memfailkan petisyen kepada SPR.

Bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula, sebanyak 27 petisyen melibatkan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan difailkan manakala PAS telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk meneliti semua maklumat dan laporan sebelum mengemukakan petisyen.-Roketkini.com