Berita

Malaysia di landasan betul jika PR memerintah negara – Guan Eng

LONDON, 29 MEI: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yakin sekiranya Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pemerintahan negara, Malaysia sudah pasti berada di landasan betul untuk mencapai potensi sepenuhnya.

Bagaimanapun, beliau menolak pendirian yang mengatakan prospek masa depan negara akan terjejas dengan kehadiran pembangkang yang kuat di Parlimen.

“Walaupun PR gagal mencapai matlamat untuk memenangi Putrajaya, saya amat percaya dengan kehadiran PR yang lebih kukuh di Parlimen, bersama-sama pengalaman penggal kedua memerintah Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor, akan memberi kesan positif kepada pembangunan negara.

“Pertamanya, rakyat perlu yakin BN akan lebih sukar untuk menerima tawaran yang hanya akan memberi manfaat kepada kroni mereka berbanding ketika PR hanya 10% Ahli Parlimen hingga memudahkan BN melakukan banyak perkara terutama jenis kontrak kroni yang terlalu banyak,” katanya ketika berucap di Merton College, Universiti Oxford, England, semalam.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, bagaimanapun sekarang dengan kekuatan 89 Ahli Parlimen dari setiap negeri di Malaysia kecuali Perlis, rakyat boleh yakin PR akan membongkar setiap sudut dan celah bagi memastikan BN berasa sukar mengulangi seperti perjanjian NFC “lembu di kondo”.

Menurutnya, rakyat boleh bergantung kepada Ahli Parlimen seperi Rafizi Ramli, Nurul Izzah atau Dr Ong Kian Ming, Mahfuz Omar dan Tony Pua, serta ramai lagi Ahli Parlimen muda untuk menjalankan tugas semak dan imbang terhadap kerajaan BN.

Beliau berkata, ini bukan bermakna BN tidak akan mencuba seperti ditunjukkan daripada penubuhan 1MDB, BN tidak pernah berubah cara kerana 1MDB yang tidak mempunyai apa-apa manfaat selain daripada menjadi dana simpanan khas, sepatutnya diserap ke dalam Khazanah seperti dicadangkan PR dalam Manifesto Harapan Rakyat.

“Persaingan polisi memaksa BN untuk bertindak terhadap cadangan PR. Kontrak untuk generasi pertama bagi Penjana Kuasa Bebas (IPP) yang akan berakhir tidak lama lagi akan diperbaharui dengan kos yang lebih rendah kerana tekanan PR. Begitu juga dengan tekanan untuk memaksa BN mengurangkan harga kereta secara perlahan-lahan.

Ahli Parlimen Bagan itu juga berkata, PR sudah membuktikan kejayaan mentadbir Pulau Pinang dan Selangor dengan lebih baik berbanding BN sehingga memperolehi mandat lebih besar terutama dari segi kerusi dan undi.

“Di Pulau Pinang, PR berjaya meningkatkan bilangan kerusi negeri daripada 29 kepada 30 dan undi popular daripada 58% kepada 67%. Di Selangor pula PR berjaya menambah kerusi negeri daripada 36 kepada 44 dan undi popular meningkat daripada 55% kepada 59%. PR juga membuktikan rizab negeri meningkat dan dalam masa sama, bantuan kewangan dan agihan peruntukan juga dijalankan secara adil dan telus,” tambahnya.

Menurutnya, PR akan terus mencari cara yang lebih baik untuk mentadbir kedua-dua negeri berkenaan menggunakan cara yang lebih kreatif untuk memenuhi aspirasi mewujudkan sebuah masyarakat yang dipandu dengan idea yang lebih progresif, pelaburan swasta dan awam yang berterusan dan terancang.

“Penubuhan Penang Paradigm, yang dilancarkan pada awal tahun ini menyediakan pelan tindakan yang telah dan akan digunakan untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia bagaimana PR akan mentadbir Putrajaya,” katanya. – Roketkini.com