Berita

40% Ahli Exco Selangor wanita, Hannah speaker wanita pertama

SHAH ALAM, 30 MEI: Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat hari ini mengumumkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negerinya, dengan 40% daripadanya adalah wanita.

Sejarah juga tercipta untuk pertama kalinya seorang wanita dilantik Speaker Dewan Negeri, apabila ADUN DAP Subang Jaya, Hannah Yeoh dipilih memegang jawatan itu dan Nik Nazmi Nik Ahmad (ADUN PKR Seri Setia) sebagai Timbalan Speaker.

Hannah mengambil alih tugas itu daripada Teng Chang Khim yang kali ini dibariskan sebagai Ahli Exco.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut menampilkan tiga muka baru dalam senarai 10 Ahli Exco iaitu Ganapathi Rao (DAP, Kota Alam Shah), Dr Daroyah Alwi (PKR, Sementa) dan Sallehin Mukhyi (PAS, Sabak).

Abdul Khalid sendiri mengetuai portfolio Kewangan, Pembangunan Tanah dan Pengurusan Sumber Alam, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Penerangan serta Jawatankuasa Adat Melayu.

Berikut adalah senarai penuh Ahli Exco Selangor serta portfolio masing-masing:

Teng Chang Khim (DAP, Sungai Pinang) – Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan.

Ganapathi Rao Veraman (DAP, Kota Alam Shah) – Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin.

Ean Yong Hian Wah (DAP, Seri Kembangan) – Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram.

Elizabeth Wong (PKR, Bukit Lanjan) – Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar

Dr Daroyah Alwi (PKR, Sementa) – Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi.

Rodziah Ismail (PKR, Batu Tiga) – Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita.

Sallehin Mukhyi (PAS, Sabak) – Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa.

Dr Halimah Ali (PAS, Selat Klang) – Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

Dr Ahmad Yunus Hairi (PAS, Sijangkang) – Belia, Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Iskandar Abdul Samad (PAS, Cempaka) – Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar.-Roketkini.com