Wawancara

Pilih DAP kerana ideologi demokrasi sosial

NAMA: Wong Shu Qi

UMUR: 30

PENDIDIKAN: Jurusan Sains Politik dan Journalism dari Universiti Chengchi Taiwan

PENGALAMAN: Penulis dan wartawan senior

PERUBAHAN iklim politik pra-matang Malaysia ke arah pra-pencerahan telah mengubah segalanya. Penyertaan golongan muda dalam arena politik negara secara langsung atau tidak langsung bukan lagi satu perkara yang janggal kerana pada saat ini, kesedaran untuk mengubah Malaysia ke arah yang lebih baik, adil dan bersih menjadi keutamaan lebih-lebih lagi bagi generasi pasca MSC.

Wartawan Roketkini.com, Hafiz Zainuddin mengambil kesempatan mewawancara seorang wakil rakyat muda mewakili DAP, Wong Shu Qi, anak jati kelahiran Johor mengenai pandangnya kepada politik baru Malaysia dan pembabitan mendadak golongan muda bersama politik.

Foto oleh Muhamad Affendy

Pengenalan: Siapa sebenarnya Suki Wong?

Usia bukan penghalang untuk wanita muda ini menceburi diri dalam gelanggang politik Malaysia yang semakin mencabar. Walaupun baru berusia 30 tahun, saudari Wong Shu Qi atau lebih mesra dipanggil Suki Wong berjaya mencipta sejarah di Senai, Johor apabila kerusi Dewan Undangan Negeri itu akhirnya berjaya ditawan Pakatan Rakyat-DAP setelah puluhan tahun menjadi kubu kuat MCA-Barisan Nasional (BN).

Suki Wong: Saya memilih untuk berpolitik kerana mempunyai keyakinan dan visi untuk memberikan yang terbaik buat masyarakat dan tanah airnya, Malaysia.

Sebelum ini saya adalah seorang wartawan dan penulis di sebuah portal berita online Merdeka Review selama tiga tahun.

Saya menyertai DAP selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 2011. Masa itu saya buat liputan di sana dan pada masa yang sama Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke banyak memberi dorongan kepada saya untuk sertai politik,” ujar Suki menceritakan titik mula beliau menceburkan diri dalam politik.

Roketkini: Mengapa pilih DAP bukan parti oposisi lain?

Suki Wong: Saya lebih mesra dengan ideologi jelas yang dibawa DAP iaitu demokrasi sosial yang mana ia cocok dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Saya percaya pada demokrasi dan saya percaya DAP mampu untuk membina sebuah Malaysia yang demokratik. Keputusan saya menyertai DAP juga didorong oleh semangat untuk melihat Malaysia yang lebih baik, adil, aman yang sebenarnya di mana kita semua sebagai rakyat dapat bersatu tanpa batas perkauman.

Roketkini: Betulkah calon wanita muda DAP mudah menang, adakah itu benar?

Suki Wong: Memang benar…, Selama bersama DAP pada Pilihan Raya Umum, saya akui calon wanita lebih mudah untuk menang berbanding calon lelaki.

Saya juga pernah tertanya-tanya mengapa fenomena ini berlaku. Mungkin juga kempen calon wanita menarik perhatian menggunakan soft approach dan lebih senang diterima pengundi.

Walaupun mereka mungkin ‘marah –marah’ atas pentas

Roketkini: Apa pandangan saudari terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke-13?

Suki Wong: Keputusan PRU-13 ini menunjukkan negara dalam proses pembinaan identiti kebangsaan.

Sekarang saya dapat melihat sebahagian besar rakyat melihat diri mereka sebagai rakyat Malaysia dan bukan meletakkan kepentingan kaum masing-masing di hadapan. Inilah perbezaan besar antara kita di DAP, Pakatan Rakyat dan BN.

Pilihan raya ini juga telah menonjolkan pertembungan dua arus kumpulan masyarakat iaitu masyarakat bandar dan masyarakat luar bandar. Bagi kawasan luar bandar yang ditandingi DAP,  jentera kempen berhadapan dengan dilema terutamanya suri rumah dan ibu yang lebih berusia.

Contohnya semasa kempen, ada sebahagian pengundi yang menyokong agenda Pakatan Rakyat untuk melakukan perubahan tetapi mereka juga menyatakan bahawa calon BN seperti di tempat saya bertanding adalah orang yang baik dan dikenali.

Inilah yang disifatkan sebagai “politik luar bandar” yang menjadi kekuatan bagi BN untuk berkubu di kawasan luar bandar.

Roketkini: Bukan sebenarnya yang berlaku tsunami Cina ke?

Suki Wong: Bukan.

Masyarakat luar bandar mempunyai ikatan yang lebih kuat bersama komunitinya berbanding masyarakat di bandar yang sibuk dan di luar bandar.

Roketkini: Jadi apa yang perlu kita lakukan?

Suki Wong: Dalam konteks politik di kawasan luar bandar, sudah tentu kita perlu jalinkan hubungan baik dengan masyarakat melalui pelbagai aktiviti dan memberi khidmat kita terhadap mereka. Kita tidak boleh lupa untuk melaksanakan aktiviti ke arah pemupukan identiti masyarakat Malaysia dan ia boleh bermula di peringkat paling asas lagi seperti tuisyen kepada pelajar dan dialog terbuka antara kaum.

Selain itu kita juga perlu memberi pendidikan politik kepada masyarakat melalui pelbagai aktiviti komuniti yang boleh kita jalankan. Tujuannya agar mayarakat tahu bahawa mereka memilih wakil rakyat daripada parti yang boleh menyuarakan suara mereka samada di peringkat negeri mahu pun Parlimen. Bukan sekadar orang yang baik yang sekadar memberi khidmat membaiki bumbung dan seumpamanya tetapi jauh lebih baik daripada itu.

Pengalaman menang

Roketkini: Ceritakan sedikit mengenai kemenangan beliau di Senai dengan 11,227 majoriti?

Suki Wong: DAP dan PR perlu meneruskan kerja keras di sana dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat.

Kita akui bahawa kita menang sebab bekerja keras di sana. Walaupun saya mendapat 11,227 majoriti, ia belum memadai dengan lebih 40,000 pengundi.

Roketkini: Bagaimana pula dengan undi masyarakat Melayu apabila hanya mendapat sekitar 15 peratus undi orang Melayu?

Suki Wong: Ini satu perkembangan menarik. Kebanyakan pengundi Melayu yang memilih saya adalah pengundi muda yang tinggal di kawasan bandar. Seperti saya katakan tadi, ini merupakan pertembungan masyarakat luar bandar dan bandar.

Buktinya, Pakatan Rakyat mendapat 51 peratus undi popular walaupun Utusan dilihat sering memainkan sentimen perkauman sebelum atau selepas pilihanraya. Tetapi kita harus bekerja keras agar setiap publisiti, provokasi mahu pun propaganda negatif daripada media kawalan BN misalnya seperti Utusan Malaysia dapat disaingi dan diatasi dengan baik.

Roketkini: Di antara pengalaman dan pengetahuan, mana satu yang lebih penting?

Suki Wong: Pengalaman itu bertambah seiring dengan pengetahuan tanpa mengira samada seorang ahli politik itu muda atau senior.

Orang lama mempunyai lebih pengalaman dan kita memang memerlukan panduan daripada mereka. Pada masa yang sama, Malaysia kini mempunyai lebih 70 peratus penduduk yang berumur sekitar 40 hingga 45 tahun.

Di sini, kita tidak boleh membiarkan acuan politik lama membelenggu masyarakat muda kita. Bukan bererti kita tidak mengenang jasa golongan lama tetapi perubahan akan tetap berlaku apabila semakin ramai orang muda menyertai politik kerana setiap generasi mempunyai perbezaan mentaliti, imiginasi, kreativiti dan sudut pandang mereka.-Roketkini.com