Berita

Guan Eng tahniah pelantikan Hannah, tiga ADUN DAP

KUALA LUMPUR, 31 MEI: DAP memuji pelantikan bersejarah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya, Hannah Yeoh sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor wanita pertama dalam sejarah Malaysia.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, DAP juga mengucapkan tahniah pelantikan tiga lagi Adun DAP iaitu Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah dan V. Ganapathi Rao sebagai Ahli Exco negeri.

“DAP mencipta sejarah dengan pelantikan yang membuka jalan baru serta memecahkan ‘siling kaca’ untuk kaum wanita dan masyarakat India.

“DAP juga melantik Speaker India pertama dalam sejarah Malaysia iaitu V. Sivakumar bagi Dewan Undangan Negeri Perak, serta Timbalan Ketua Menteri India pertama di Malaysia melalui pelantikan Prof Dr P. Ramasamy sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, pelantikan Hannah sebagai Speaker DUN Selangor adalah khabar gembira buat pergerakan memberdayakan wanita dan kesaksamaan gender di Malaysia.

Menurutnya, pencapaian bersejarah beliau bagi pihak DAP berjaya mengubat kekecewaan yang dirasakan DAP dalam pengumuman barisan Exco oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini, walaupun memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu.

“Walaupun kecewa, DAP akan terus bergerak maju dan berharap Tan Sri Khalid Ibrahim akan menepati komitmen kepada DAP dengan memberi lebih banyak ruang untuk memainkan peranan pada masa akan datang,” katanya.-Roketkini.com.