Isu Semasa

ROS tidak beretika, sebabkan prejudis melalui media – Anthony Loke

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Tindakan Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) amat tidak beretika apabila agensi kerajaan itu mengeluarkan kenyataan media berunsur menghukum terhadap Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang masih dalam siasatan pihaknya.

Utusan Malaysia, akhbar milik UMNO menyiarkan tuduhan kononnya ‘Ahli DAP dinafikan hak mengundi’ sebagai tajuk berita muka depannya hari ini, lantas menghadirkan prasangka tidak baik terhadap DAP yang baru sahaja diminta mengemukakan bukti kepada ROS semalam.

Surat daripada Bahagian Pematuhan ROS kepada Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP semalam mengkehendaki parti itu mengemukakan dokumen rasmi bagi membantu siasatan, termasuk bukti penghantaran notis Kongres Kebangsaan kepada empat cawangan DAP yang mendakwa tidak menerima notis berkenaan.

Empat cawangan yang disebut ROS ialah cawangan Taman Sri Sungai Pelek, cawangan Taman Nesa, Skudai, Johor; cawangan Desa Dahlia, Seremban dan cawangan Ladang Paroi.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook pada sidang media di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP hari ini mengutuk tindakan tidak beretika pihak terbabit sambil menyebut bahawa ada kemungkinan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.

Menurut beliau, usaha terkini ROS itu bertujuan untuk ‘mengubah gawang gol’ memandangkan agensi di bawah seliaan Kementerian Dalam Negeri itu gagal mensabitkan DAP dengan sebarang tuduhan sejak parti itu mengumumkan bahawa terdapat kesilapan teknikal dalam pengumuman keputusan pemilihannya pada kongres akhir tahun lalu.

“Hanya hari ini baru kita tahu bahawa tuduhan terbaru ROS adalah kononnya ada perwakilan yang layak hadir tidak diberi notis kongres,” ujar Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban.

Beliau mengemukakan kepada media bukti bahawa pihak yang cuba mengadu domba dan menyerang parti telah pun meninggalkan parti sebelum kongres, malah ada yang hadir ke kongres di Pulau Pinang itu dan mengundi.

“David Dass ini saya kenal secara peribadi. Dia hadir ke kongres, malah menginap di hotel yang saya tolong bayarkan. Dia masih berhutang dengan saya. Dia datang mengundi dan kemudian buat kecoh di lobi hotel,” ujar Anthony Loke mengenai seorang daripada perwakilan dari cawangan Ladang Paroi yang mendakwa tidak menerima notis kongres berkenaan.

“Tan Tuat Tat ini pula sudah meninggalkan parti pada Ogos 2012. Buat apa DAP nak bagi notis kepada orang yang sudah meninggalkan parti,” ujarnya lagi sambil menunjukkan senarai mereka yang menandatangani sendiri pendaftaran hadir ke kongres terbabit.

“Ini bukan kali pertama DAP mengadakan kongres, sudah berpuluh tahun DAP buat kongres. Kita ada prosedur standard yang perlu diikuti setiap kali,” tambahnya lagi ketika ditanya mengenai notis kongres yang mungkin tidak diterima sesetengah pihak.

Menurutnya, surat notis kongres sudah dihantar. Pengumuman kongres juga dibuat melalui media massa dan mustahil ada pihak yang tidak tahu mengenai perkara itu dan jika surat notis kongres tidak diterima, mungkin mereka boleh bertanya kepada pihak Pos Malaysia. – Roketkini.com