Rencana

BELEK – Cadangan Parti Tunggal Bakal Kena Tinggal

POLITIK berasaskan kaum adalah politik zaman lampau dan kini hanya makanan politikus pelampau. Semakin hari parti politik berasaskan kaum juga semakin dilihat kolot. Cuma gelanggang mainan orang tua gendut berbaju batik. Bukan lagi untuk anak muda atau orang tua yang cool.

Malaysia itu ialah setiap seorang daripada kita warganya, yang sudah tentu berbilang kaum dan budaya. Mudahnya, parti politik yang tidak berbilang kaum tidak mencerminkan semangat Malaysia. Apakah relevennya satu-satu parti meletakkan kepentingan kaum masing-masing sebagai tapak perjuangan sedangkan mereka perlu berfikiran Malaysia. Memikirkan semua rakyat.

Barangkali menyedari betapa parti berasaskan kaum sudah semakin tidak mendapat tempat, banyaklah desas-desus mahu menjadikan Barisan Nasional (BN) parti tunggal. Dalam erti kata lain satu parti berbilang kaum. Najib Razak menyambut cadangan ini dengan mengatakan akan ditubuhkan satu makmal khusus untuk mengkajinya. Belek punya belek tidaklah pasti sama ada makmal itu akan gunakan tikus atau monyet untuk uji kajinya.

Belum sempat cadangan itu masuk makmal, serangan demi serangan untuk membunuh cubaan itu sudah dilancarkan gerombolan UMNO. Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan mengatakan cadangan itu tidak sesuai kerana komponen BN di Sabah dan Sarawak terdiri daripada pelbagai etnik bla bla bla.

Sebenarnya bukan sebab itu dia menentang, sebab musabab penentangannya terletak pada kenyataannya bahawa BN sebagai parti tunggal akan “menjadikan UMNO, satu-satunya parti yang memperjuangkan hak orang Melayu selama ini terkubur.”

Politik kaum itu ibarat candu, terlalu syok untuk ditinggalkan. Kalau BN sudah jadi parti berbilang kaum, macam mana nak main sentimen perkauman sebab dalam parti ada kaum lain. Rakan satu parti tarafnya berbeza dengan rakan komponen.

Kita pun tahu apabila Najib kata mahu dengar pandangan ahli UMNO, itu bermakna Najib menyerahkan cadangan itu untuk disembelih ahli UMNO yang tentu tidak akan mahu untuk menghidupkan semangat Malaysia. 1Malaysia pun sikit lagi arwah, inikan pula cadangan wujudkan parti berbilang kaum.

Nampaknya cadangan BN sebagai parti tunggal bakal kena tinggal.