Berita

DAP mahu Paul Low ‘cakap serupa bikin’

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Kerajaan didesak segera menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk menyiasat secara menyeluruh semua kes tahanan mati dalam tahanan pihak berkuasa yang kini mencecah tujuh orang tidak sampai setahun.

Berikutan itu, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua menggesa bekas Pengerusi Transparency International Malaysia, Datuk Paul Low yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri agar tidak berdolak-dalik untuk menyegerakan penubuhan IPCMC berdasarkan latar belakangnya sebagai seorang pemimpin masyarakat sivil yang lantang menyuarakan isu ketelusan dan akauntabiliti.

“Apa yang mengecewakan kita ialah apabila beliau enggan menyokong penubuhan IPCMC,” ujar Pua dalam satu kenyataannya.

Menteri berkenaan sebelum ini dilaporkan berkata bahawa tidak wujud sebarang  keperluan untuk menubuhkan IPCMC kerana sudah ada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Bagaimanapun, selepas ditanya mengenai keperluan IPCMC dalam kes kematian jurutera N Dharmendran baru-baru ini, Paul Low kemudiannya membuat kenyataan ‘lain’ dan mendakwa wujud satu mekanisme sedia ada dalam EAIC.

Menurut Pua, dalam satu laporan Transparency International pada 2009, ia menyatakan bahawa pertukaran cadangan penubuhan IPCMC kepada Suruhanjaya Aduan Khas (SCC) pada 2007 menunjukkan ketidakmampuan kerajaan mengawal pihak berkuasa terbabit.

“Di sini, keadilan amat penting dan tidak boleh dilaksanakan dengan wajar jika tidak ada badan yang menyemak kuasa polis.

“Kami merayu sepenuh hati agar Paul Low yang sebelum ini lantang bercakap soal ketelusan dan keadilan agar bertegas dalam Kabinet BN,” kata Pua.

Idea penubuhan IPCMC adalah satu daripada 125 cadangan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia pada Mei 2005 lalu yang antara lain bertujuan meningkatkan profesionalisme unit terbabit.-Roketkini.com