Berita

Jangan tipu: DAP minta MIC kemuka bukti, jangan cakap kosong

TRONOH, 3 JUN: DAP mahu BN menunjukkan bukti bahawa 1,500 pelajar India diberi tempat di matrikulasi seperti yang dijanjikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2012.

Timbalan Pengerusi DAP Perak, V. Sivakumar berkata, gesaan itu dibuat kerana ramai yang berpendapat pemberian 1,500 tempat matrikulasi untuk pelajar India adalah satu janji kosong malah kesahihannya boleh dipertikaikan.

“Ia dibuat semata-mata untuk mempengaruhi masyarakat India untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). Bagaimanapun, perkara itu masih menjadi tanda tanya sehingga sekarang,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Katanya, sebelum PRU-13, Presiden MIC, G. Palanivel beberapa kali mewar-warkan mengenai pemberian 1,500 tempat matrikulasi kepada pelajar India.

“Perkara itu dihebohkan dalam media massa untuk meyakinkan masyarakat, pengundi India bahawa janji Perdana Menteri itu ditunaikan. Palanivel meminta mereka untuk memberi sokongan kepada Najib dan BN pada pilihan raya umum lalu,” jelasnya.

Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ramai kalangan kaum India beralih menyokong Barisan Nasional (BN) kerana isu itu dimainkan.

“Kalau apa yang dikatakan Palanivel itu betul, beliau harus membuktikannya supaya masyarakat India tidak tertipu lagi.

“Saya mencabar Palanivel untuk mendedahkan senarai keseluruhan 1,500 nama pelajar India yang diberi tempat di matrikulasi,” kata Sivakumar yang mahu kerajaan BN tidak memberi alasan untuk mengelak daripada janji itu.-Roketkini.com