Berita

Graduan disisih kerana dasar UMNO tidak untungkan Melayu

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Dakwaan ramai graduan Melayu gagal mendapat pekerjaan di syarikat besar bukan bermakna mereka disisih tetapi disebabkan pelbagai dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak menguntungkan orang Melayu.

Senator Dr Ariffin Omar berkata, peminggiran graduan Melayu ini harus dilihat melalui pelbagai sudut secara holistik.

“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahkan pihak yang tidak mengambil graduan Melayu bekerja sahaja tetapi perlu melihat pokok pangkal punca berlakunya perkara itu,” ujar beliau ketika dihubungi hari ini.

Mengulas laporan tajuk utama akhbar Utusan Malaysia hari ini ‘Graduan Melayu disisih’, Dr Ariffin berkata, rakyat Malaysia harus sedar bahawa penguasaan BN dan UMNO lebih 50 tahun lalu menyebabkan banyak dasar yang dibuat tidak seimbang malah merugikan orang Melayu dan rakyat.

Contoh, kata pakar dalam sejarah dan kebudayaan Melayu, Dasar Ekonomi Baru (DEB) sendiri telah gagal memajukan orang Melayu tetapi lebih menguntungkan syarikat kroni UMNO yang tidak berpengalaman.

“Akibatnya, berlaku gejala ‘alibaba’ dan kita tidak berasa janggal kalau ada pihak yang mendakwa DEB lebih menguntungkan ‘bukan Melayu’. Jangan kita salahkan orang lain. Ini adalah disebabkan dasar UMNO yang tidak minat untuk majukan orang Melayu sendiri,” tegasnya.

Ditanya mengenai kemunculan banyak Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S) negara ini, Dr Ariffin berkata, kerajaan memang tidak ada masalah untuk melaksanakannya.

“Kerajaan boleh bina dan luluskan seberapa banyak IPTA/S, tetapi adakah ianya berkualiti, bukan sekadar hebohkan isu yang timbul. Kajilah semula,” katanya.

Mendedahkan apa yang menimpa anaknya, seorang graduan ijazah bidang undang-undang dari Universiti Malaya (UM), beliau berkata, ijazah yang diperolehi itu tidak diiktiraf negara jiran, Singapura.

Selain itu, beliau yang juga bekas pensyarah di Universiti Pertahanan Malaysia dan beberapa IPTA lain turut mendedahkan dilema utama yang dialami kebanyakan graduan Melayu terutamanya IPTA yang gagal menguasai bahasa dengan baik.

“Jika kita melihat daripada sudut penguasaan bahasa graduan Melayu, kebanyakan mereka gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik sedangkan kebanyakan syarikat besar atau kecil memerlukan graduan yang boleh menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa,” jelas beliau.

Dr Ariffin mahu agar perkara itu tidak menjadi sebagai bahan politik untuk menyalahkan orang lain sebaliknya harus mengkaji semula beberapa perkara yang perlu diberi perhatian.

“Pertamanya mengenai dasar kerajaan, kedua mengenai kualiti pendidikan kebangsaan yang makin merosot dan ketiga penguasaan bahasa Inggeris di kalangan graduan khasnya graduan Melayu,” ujar beliau.-Roketkini.com