Isu Semasa

Kabinet Najib perlu putuskan sokongan penubuhan IPCMC

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bermesyuarat hari ini perlu memutuskan samada menyokong atau menolak cadangan penubuhan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata Kabinet juga perlu membentuk jawatankuasa dan diberi tempoh dua minggu untuk mengemukakan cadangan samada menerima atau menolak cadangan penubuhan IPCMC apabila persidangan Dewan Rakyat mulai 24 Jun ini.

Katanya, penubuhan IPCMC pertama kali dicadangkan Suruhanjaya Diraja Polis yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah pada 2005 sebagai yang paling penting untuk mewujudkan pasukan polis yang tidak rasuah, professional dan cekap bertaraf dunia.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, Kabinet perlu bersetuju untuk membenarkan Ahli Parlimen mengundi untuk menyokong cadangan penubuhan IPCMC pada mesyuarat pertama Parlimen ke-13 selama 16 hari antara 24 Jun hingga 18 Julai.

Menurutnya, Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat pada mesyuarat Isnin lalu yang dianggotai enam Ahli Parlimennya untuk bertindak menggerakkan penubuhan IPCMC bagi mendapatkan sokongan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Enam Ahli Parlimen yang menganggotai pasukan itu ialah M Kulasegaran (DAP – Ipoh Barat), Gobind Singh Deo (DAP – Puchong), N Surendran (PKR – Padang Serai), Shamsul Iskandar (PKR – Bukit Katil), Mohamed Hanifa Maidin (PAS – Sepang) dan Siti Mariah Mahmud (PAS – Kota Raja)

“Penubuhan IPCMC hanya boleh menjadi kenyataan jika 23 Ahli Parlimen BN bersedia menyertai bersama 89 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat untuk menyokong penubuhan IPCMC apabila Parlimen ke-13 mesyuarat pada 24 Jun ini.

“MIC, yang mempunyai empat Ahli Parlimen juga mengisytiharkan sokongan kepada IPCMC. Naib Presiden MCA, Gan Peng Sieu juga berkata MCA menyokong IPCMC, tetapi bolehkah kami mengharapkan tujuh Ahli Parlimen MCA untuk turut menyokong,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini juga pernah berikrar secara terbuka untuk melaksanakan cadangan IPCMC.

Bagaimanapun, katanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika menjadi Ketua Pemuda UMNO dan kemudian dilantik Menteri Dalam Negeri membantah cadangan penubuhan IPCMC sehingga Abdullah terpaksa menarik balik cadangan itu dan menggantinya dengan Suruhanjaya Integriti Agensi (EAIC).

“Setakat ini, saya tidak tahu samada Menteri Dalam Negeri baru, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyokong atau menentang penubuhan IPCMC kerana masih bermain “Tai Chi” apabila menyatakan kementerian beliau “terbuka” tetapi memerlukan masa untuk mengkaji maklum balas terhadap cadangan itu.

“IPCMC ini adalah satu cadangan yang berkesan untuk menangani peningkatan tahanan mati dalam tahanan polis dengan 80 kes antara Januari 2000 dan Disember 2004, atau purata 16 tahanan mati dalam setahun yang dianggap tidak boleh diterima,: katanya dalam kenyataan media, hari ini..

Menurut Kit Siang, kerajaan tidak boleh lagi berlengah menubuhkan IPCMC kerana kes tahanan mati dalam tahanan polis bertambah buruk selepas Laporan Dzaiddin walaupun kadarnya meningkat sedikit dalam lapan tahun.

Beliau juga meminta Kulasegaran sebagai Ahli Parlimen yang paling kanan untuk mengadakan mesyuarat pertama pasukan bertindak IPCMC secepat mungkin.-Roketkini.com