Berita

DAP pertikai kredibiliti Ahmad Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mempertikaikan kredibiliti Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tidak dikenakan tindakan mahkamah berikutan tindakannya memukul seorang ahli perniagaan pada 2006.

Kit Siang mendakwa Ahmad Zahid pernah disaman seorang ahli perniagaan terbabit, Amir Abdullah Bazli kerana menumbuk muka Amir pada 16 Januari 2006 di Kelab Rekreasi Country Heights, Kajang, sehingga mengalami cedera tulang hidung dan bengkak pada mata.

Katanya, beliau terkejut apabila Ahmad Zahid mempersoalkan “Who is Lim Kit Siang? I don’t know who he is.” (Siapa itu Lim Kit Siang, saya tidak kenal siapa dia) seperti yang disiarkan televisyen pada Selasa lalu.

“Soal “Who is Lim Kit Siang” adalah tidak penting tetapi yang pentingnya “Who is Ahmad Zahid Hamidi” yang sekarang dilantik Menteri Dalam Negeri yang baru.

“Perkara itu menjadi penting apabila Pengerusi Biro Undang-undang DAP yang juga Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo mendesak Datuk Seri Najib Razak supaya menggantung Ahmad Zahid daripada Kabinet sebagai bukti Perdana Menteri serius dalam melakukan pembaharuan kerajaan.

“Najib Razak perlu menjelaskan sama ada beliau mengetahui perkara itu, yang mana Zahid ketika itu adalah Timbalan Menteri Penerangan atau Perdana Menteri telah menyiasat mengapa polis tidak mendakwa Zahid kerana tindakan itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah juga mendakwa Ahmad Zahid telah menafikan perkara itu dan memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya menolak kes berkenaan yang dilakukan pada 21 April 2010.

Ahmad Zahid kemudiannya mengemukakan saman balas atas alasan mengalami rasa malu dan trauma emosi disebabkan tuduhan terbabit.

Bagaimanapun tahun lalu, beliau berkata, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menolak cubaan Ahmad Zahid dan mengarahkan beliau membayar kos RM5,000, dan menggesa beliau memberikan maklum balas terhadap tindakan berkenaan.

“Kes itu dibangkitkan bagi menjawab persoalan mengapa Ahmad Zahid tidak didakwa di mahkamah oleh polis kerana perlakuan jenayah itu.

“Ia menimbulkan persoalan kerana Malaysia mempunyai penjenayah sebagai Menteri Dalam Negeri” tambah Kit Siang.

Beliau berkata, adakah Najib atau Ahmad Zahid bersedia menjelaskan berhubung isu berkenaan dan kesesuaian beliau memegang jawatan Menteri Dalam Negeri dengan kes berkenaan.

Beliau juga menuntut penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low sama ada beliau bersetuju Ahmad Zahid harus meletakkan jawatan sebagai usaha “integriti” dan “tata kelola kerajaan yang baik” sehingga beliau membersihkan dirinya daripada dakwaan kes berkenaan. – Roketkini.com