Berita

Diskriminasi kerja bukan hanya isu graduan Melayu

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Isu diskriminasi peluang pekerjaan bukan hanya membabitkan graduan Melayu malah meliputi graduan bukan Melayu meliputi sektor swasta, kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pemuda DAP Pusat, Mahdzir Ibrahim berharap isu itu tidak dimanipulasi untuk memainkan sentimen perkauman dan mengelirukan orang ramai.

“Jika membaca laporan Utusan Malaysia, ia seolah-olah majikan Cina mendiskriminasi graduan Melayu semata-mata dan ia dianggap sangat berbahaya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mahdzir ketika mengulas manipulasi laporan akhbar kawalan UMNO, Utusan Malaysia berkaitan satu kajian yang dibuat Dr Lee Hwok Aun dari Universiti Malaya (UM) dan Dr Muhammed Abdul Khalid dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengenai kecenderungan majikan dalam sektor swasta dalam pengambilan pekerja.

Bagaimanapun, menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab Utusan Malaysia yang menyiarkan berita tajuk ‘Graduan Melayu disisih’ di muka depannya 5 Jun lalu
menimbulkan pelbagai reaksi.

“Kami tidak menafikan wujud sikap diskriminasi dalam industri pekerjaan. Tetapi itu bukan agenda mana-mana pihak secara terancang atau langsung. Banyak faktor lain yang perlu dikaji dan dibahaskan.

“Jika penemuan kajian itu dilihat secara menyeluruh dan lebih memahami, diskriminasi perlu ditangani dengan lebih komprehensif dan jujur oleh pihak kerajaan bersama-sama sektor swasta,” kata Mahdzir lagi.

Menurut beliau, sentimen yang dimainkan Utusan Malaysia itu tidak akan menyelesaikan masalah malah mampu menimbulkan polemik yang lebih besar.

“Sepatutnya Utusan Malaysia boleh saja bantu pihak kerajaan dalam sektor sumber manusia dan pendidikan untuk merangka dasar yang lebih baik demi memastikan graduan masa depan memiliki cukup kemahiran untuk bersaing di peringkat antarabanga,” katanya.

Menurut Mahdzir, masalah itu sepatutnya sudah lama diatasi sepertimana desakan Proham agar kerajaan menandatangani Konvensyen Antarabangsa PBB mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum 1969 (ICERD).

“Perkara ini juga pernah dibangkitkan Pengerusi Proham, Tan Sri Simon Sipaun yang menegaskan bahawa isu diskriminasi sektor ini menjadi satu daripada punca berlakunya ‘brain drain’,” katanya.

Justeru itu, Mahdzir menegaskan Pemuda DAP menolak budaya perkauman yang cuba dimainkan Utusan Malaysia dan terus konsisten dengan prinsip peluang saksama kepada semua kaum melampaui sempadan agama, keturunan dan gender.

“Setiap graduan kita mestilah diberi peluang untuk mengembangkan potensinya dalam apa jua bidang,” katanya.

Semalam Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Senator Dr Ariffin Omar berkata, isu ‘diskriminasi’ ini timbul akibat banyak dasar yang dirangka kerajaan BN dan UMNO tidak seimbang malah merugikan orang Melayu dan rakyat.

“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahkan pihak yang tidak mengambil graduan Melayu bekerja sahaja tetapi perlu melihat pokok pangkal punca berlakunya perkara itu,” ujar beliau ketika dihubungi hari ini,” ujarnya.-Roketkini.com