Berita

DAP cadangkan Teresa Pegawai Perhubungan Politik Selangor

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mencadangkan supaya Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok memegang jawatan Pegawai Perhubungan Politik kepada Kerajaan Negeri Selangor.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan medianya hari ini memberitahu keputusan CEC yang dibuat dalam mesyuarat 5 Jun lalu adalah bertujuan supaya keseimbangan dapat dipastikan dan memperkukuhkan bahawa DAP adalah rakan kongsi sekata dalam Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Menurut beliau lagi, pelantikan Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh itu adalah dengan status dan syarat lantikan yang serupa dengan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.

“Dalam hal ini, PAS juga patut mempunyai seorang Pegawai Perhubungan Politik,” katanya.

Ini berikutan pelantikan Saifuddin yang tewas dalam pilihan raya baru-baru di Parlimen Kulim-Bandar Baharu sebagai pegawai perhubungan politik kerajaan Selangor oleh Menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim yang menurutnya bertujuan membantu pembangunan luar bandar.

Bagaimanapun menurut laporan media, fungsi sebenar Saifuddin dalam pentadbiran negeri itu hanya akan dipastikan dalam satu pertemuan dengan pemimpin PKR.

“Dalam hal tiga wakil rakyat DAP Selangor dalam majlis pimpinan Pakatan Rakyat Kerajaan Negeri Selangor bagi menyelesaikan isu rakyat dalam kerajaan negeri, CEC DAP melantik Sdr Tony Pua, Sdr Teng Chang Khim dan Sdr Gobind Singh untuk menganggotai majlis sepuluh orang tersebut yang dipengerusikan Menteri Besar Selangor,” ujar Guan Eng lagi. – Roketkini.com