Wawancara

Sepinggan mee di tepi pantai bersama Steven Sim – Bahagian 1

MULANYA Ahli Parlimen Bukit Mertajam ini mengajak saya bertandang ke kawasannya dan bersembang sambil menyantap mee kuah ketam. Namun malang bagi saya, jalan di daerah Seberang Perai itu saya langsung tak pandai. Maka kami berjumpa saja di luar dewan seusai forum anjuran Penang Institute, petang Ahad lalu.

Steven Sim nampak kurus. Lebih kurus berbanding kali terakhir saya bertemunya. Dengan wajah lapar beliau membuka plastik yang menutup hidangan mee goreng dan kuih muih di luar dewan dan menceduk mee ke dalam pinggan; lalu dihulurnya kepada saya. Baik betul hati Ahli Parlimen muda ini.

Di satu meja di balik dinding, kami pun duduk dan mula bersembang. Di antara suapan mee goreng berlatarkan lautan Gurney Drive; beliau mula menjawab soalan saya.

Macam mana gayanya Steven Sim boleh menjadi Steven Sim yang hari ini? Cuba cerita sikit?

Kalau kita bersembang mengenai sisi politik saya, antara memori politik saya yang paling awal ialah sewaktu saya berusia 16 tahun hampir masuk 17. Sekitar tahun 1999.

Tak ada kena mengena dengan ‘generasi reformasi’ Chin Tong, walaupun agak hampir.

Saya masih ingat waktu itu, saya memarahi ibu bapa saya kerana mereka menyokong DAP.

Hah? Apa pasal?

Saya ini produk ‘Mahathirisme’. Pada kami, waktu itu tidak ada alternatif lain. BN sajalah kerajaan yang boleh memberi kita segala-galanya. Saya membesar dalam sistem pendidikan Mahathir, atau apa yang kita mungkin sebut sebagai hegemoni Mahathir. Dari waktu anda terjaga di sebelah pagi sehingga terpejam lena sambil lagu Negaraku bermain di kaca televisyen, kita dihujani dengan propaganda bahawa hanya Barisan Nasional (BN) yang layak menjadi kerajaan.

Ibu bapa saya penyokong pembangkang. Sewaktu saya 17 tahun, di kemuncak aktivisme politik negara, saya marah ibu bapa saya, terutamanya ibu saya. Saya kata ‘kenapa sokong Lim Kit Siang? Pembangkang ini semua hanya tahu buat bising. Kita kena sokong BN, BN sudah bagi kita macam-macam.’ Inilah pendirian politik saya ketika itu. Inilah memori politik saya yang paling awal. Ya saya tahu, memang teruk.

Kemudian ke universiti?

Sewaktu saya dalam tahun kedua ketika melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya, saya dijemput oleh seorang pensyarah untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya kampus. Ini yang peliknya kerana saya sampai terpaksa dijemput oleh pensyarah, daripada saya ada kesedaran sendiri untuk ikut serta.

Tetapi pensyarah pemikirian kritis dan pengucapan awam saya itu barangkali sedang terdesak mencari calon dan tiba-tiba terjumpa saya yang boleh bercakap di dalam kelas, terus beliau mengajak saya supaya mengambil bahagian dalam pilihan raya kampus.

Waktu itu saya langsung tidak tahu apa itu pro-Aspirasi dan apa itu Pro-M. Dan selalunya bila kita naif dalam politik, kita akan selalunya berada di pihak yang salah. Jadi saya bertanding sebagai calon Aspirasi. Tahun itu Aspirasi kalah, tetapi saya menang. Maka saya jadi pembangkang dalam Majlis Pimpinan Pelajar.

Ia menjadi pengalaman yang baik kerana saya ikut serta bukan sebagai seorang yang partisan. Saya masuk kerana saya merasakan ia adalah platform yang baik untuk saya berkhidmat. Sebab waktu itu saya seorang yang tidak berpihak. Saya buat hal saya sendiri. Namun saya dilihat sebagai sebahagian penting daripada MPP itu sendiri, sehinggakan ada pihak yang mengatakan saya ini ‘spy’ Pro-M dalam grup Aspirasi; walaupun saya tidak tahu hujung pangkal apa dia Aspirasi dan Pro-M. Namun ini juga berjaya menghasilkan satu lagi pengalaman yang membina kesedaran politik. Saya terdedah kepada politik nasional disebabkan pengalaman itu.

Ada lagi pengalaman yang menarik?

Pengalaman pencerahan politik saya yang ketiga berlaku mungkin dalam tahun 2006. Ketika saya balik kampung ke Pulau Pinang dari Kuala Lumpur dan selepas saya menghabiskan masa untuk membina diri dan kerjaya, saya kembali menceburkan diri dalam politik dan khidmat sosial dan saya buat keputusan untuk terbabit dalam pergerakan politik. Jadi saya pergi Ibu Pejabat Gerakan.

Malangnya (atau nasib) pejabat itu tidak buka. Kerana saya pergi pada hujung minggu. Takdir menentukan saya dan teman-teman bertemu dengan seorang yang sangat menjengkelkan di situ. Kami dimarahi kerana datang pada hujung minggu, sebab pejabat tak buka. Datanglah waktu bekerja katanya. Jadi saya begitu hilang minat disebabkan reaksi itu.

Pada waktu itu kami melihat Gerakan sebagai pihak pembangkang dalam kerajaan. Sebuah parti dengan ramai cerdik pandai, suara hati BN dan kerajaan negeri Pulau Pinang. Jadi saya sangat kecewa dengan sambutan diberikan.

Ketika di universiti juga saya lebih terdedah kepada politik DAP. Teman serumah saya, namanya David, adalah seorang peminat dan penyokong DAP. Saya masih ingat beliau melanggan akhbar The Rocket dengan menggunakan nama samaran. Kalau tak salah saya beliau guna nama ‘Charles Santiago’. Jadi kami sangat terdedah dengan maklumat mengenai DAP. Saya juga sering menghadiri forum anjuran DAP.

Jadi selepas cubaan gagal untuk menyertai Gerakan, pada 2007 saya rasa saya patut cuba menyertai DAP. Saya tulis sepucuk email melalui laman web DAP. Selepas beberapa ketika Chong Eng menulis pula kepada saya, bertanya kalau-kalau saya berminat untuk bertemu dengannya. Saya amat terkejut, dan sedikit ‘ketar’.

Kami pun keluar berjumpa. Saya masih ingat bertemu Chong Eng di sebuah kopitiam; itulah dia pertama kali saya bertemu seorang wakil rakyat. Saya rasa sedikit malu waktu itu; kerana saya memandu sebuah Iswara lama yang sudah buruk. Tetapi saya nampak kereta Chong Eng lebih teruk berbanding saya. Itu yang membuatkan saya terfikir mengenai DAP dan pemimpinnya. Sejak itu saya terus menawarkan diri untuk membantu Chong Eng di pusat khidmat beliau. Ia bermula dengan hal ‘IT’, saya membantunya membuat blog. Dan saya rasa Chong Eng adalah antara yang terawal yang mempunyai akaun Twitter pada Mac 2007 belum ada sesiapa yang peduli dengan Twitter ketika itu. Daripada situ saya menyedari bahawa memang ada perbezaan antara DAP, pembangkang dengan UMNO dan BN. Daripada segi nilai yang didukung orang seperti Chong Eng. Dan saya menyertai DAP pada 2007.

Jadi daripada menjadi pembenci Lim Kit Siang, anda menjadi ahli DAP?

Sewaktu saya memberitahu ibu yang saya menyertai DAP, ibu saya begitu sinikal sekali. Katanya dulu saya marah mereka kerana mengundi DAP, sekarang saya mahu menyertai DAP pula. Daripada seorang pembenci Kit Siang, saya menjadi ‘pemuja’ Kit Siang.

Kalau anda tanya saya apa yang menjadi acuan diri saya hari ini, saya akan sebut bahawa tiga empat batu tanda politik dalam perjalanan hidup saya inilah yang membentuk dan membawa saya ke mana saya berada hari ini.

Sesudah saudara berada dalam DAP sekarang selepas pengalaman dan pencerahan politik yang begitu panjang, adakah saudara rasa DAP ini sebuah wahana yang baik untuk anak muda bergiat dalam aktivisme politik?

Saya menyertai DAP pada 2007, beberapa bulan sahaja sebelum pilihan raya umum tahun 2008. Masih mentah, budak hingusan yang tak tahu apa-apa tentang kempen politik; tetapi saya dijemput berucap dalam siri ceramah. Memang kalutlah waktu itu. Tapi saya ingat dalam satu ceramah pada 2008 itu, saya ada sebut bahawa selepas mengenali Chong Eng dan mendapat kesedaran tentang politik pembangkang saya menyedari bahawa DAP sebenarnya adalah pilihan pertama saya.

Saya rasa pada waktu itu, pada usia 25 tahun, sebagai anak muda kita semua kecewa dengan kadar moraliti yang diperlihatkan oleh kerajaan dan dalam politik. DAP adalah pilihan yang tepat.

Bersambung di “Saya tidak akan biarkan UMNO bersuka ria di Parlimen” – Roketkini.com