Berita

Pilihan raya PBT tingkat kesedaran rakyat, galak demokrasi

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) diakui tidak dapat menyelesaikan semua masalah dalam sekelip mata tetapi ia adalah proses pendemokrasian yang sangat penting buat rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, Setiausaha Organisasi DAP Selangor, Lau Weng San menempelak kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan bahawa pelaksanaan pilihan raya PBT bukan satu-satunya jalan penyelesaian untuk meningkatkan prestasi PBT.

“Kenyataan Abdul Rahman juga menunjukkan bahawa beliau masih percaya kepada konsep ‘kerajaan mengetahui segala-galanya’ walaupun ia sudah jauh ketinggalan zaman,” ujarnya.

Weng San yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku berkata, pilihan raya PBT bukan sesuatu yang asing malah pernah dilaksanakan di Malaysia.

“Ianya merupakan satu daripada asas kepada kemerdekaan Malaya pada 1957.

“Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Perjalanan Kerajaan-kerajaan Tempatan pada 1970 yang diketuai mendiang Tan Sri Athi Nahappan telah mencadangkan agar kerajaan memulihkan pemilihan ahli majlis kerajaan tempatan melalui pilihan raya dan bukan melalui pelantikan oleh ‘ketua-ketua’ politik,” katanya.

Mengenai kegelisahan sesetengah pihak terhadap ‘polarisasi’ politik jika pilihan raya PBT diadakan, Weng San berkata, keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu menunjukkan rakyat Malaysia sudah semakin matang berpolitik.

“Rakyat tidak lagi memilih wakil rakyat mengikut kaum dan agama. Buktinya, calon DAP berketurunan India mendapat sokongan masyarakat Cina dan calon berketurunan Cina mendapat sokongan di kawasan Melayu.

“Begitu juga calon berketurunan Melayu daripada PAS yang menang di kawasan masyarakat bukan Melayu. Kita juga tidak harus lupa fakta bahawa terdapat ramai pengundi bukan Cina yang mengundi di kawasan bandar manakala terdapat juga kawasan kaum India dan Cina di luar bandar. Demografi penduduk sekarang telah menjadi semakin homogenius,” jelasnya.

Pilihan raya PBT telah diperkenalkan pada 1956 di Majlis Perbandaran George Town sehingga dihentikan pada 1963.

Merujuk Perkara 113(4) Perlembagaan Persekutuan, ia memperuntukkan bahawa kerajaan negeri boleh memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjalankan pilihan raya selain daripada Pilihan Raya Umum.-Roketkini.com