Wawancara

“Saya tidak akan biarkan UMNO bersuka ria di Parlimen” – Steven Sim. Bahagian Akhir.

Sambil mengunyah mee goreng dan bersembang dengan Ahli Parlimen Bukit Mertajam ini, saya menyedari bahawa Steven Sim tidak berlagak seperti seorang ahli politik. Barangkali kerana sudah terbiasa sebagai seorang Ahli Majlis maka, beliau lebih santai dan melayan kerenah saya seperti seorang kawan.

Dan mungkin kerana ya beliau kawan saya maka selorohnya menjadikan wawancara kami terlalu santai, dan saya membiarkannya bersembang tentang apa sahaja yang mahu dikatakan.

Steven Sim pun menyambung lagi;

Daripada pemerhatian saya sendiri, pada waktu sekitar 2007 ke 2008, serta pembacaan dan kaji selidik saya terhadap DAP, inilah satu-satunya parti yang tidak pernah berkompromi dengan UMNO, dan pemimpinnya di sepanjang sejarah parti ini telah menunjukkan tingkatan integriti yang amat tinggi. Mereka ada akhlak tinggi, dan mereka berjuang demi keadilan tanpa meminta apa-apa balasan.

Saya rasa untuk orang muda macam kita yang begitu marah dan sinikal terhadap segala kepincangan yang berlaku dalam politik negara yang dilihat sebagai kancah penuh kejahatan dan rasuah, DAP agak terasing daripada kancah ini. Di saat anak muda melihat politik dengan bibir terjuih dan merasakan orang politik semuanya sama, semuanya rasuah, banyak menabur janji manis, sembang saja lebih tapi kerja tak buat; saya harap mereka boleh meluangkan masa dan membaca tentang kisah perjuangan DAP.

Inilah yang membawa saya mendekati DAP, tak ada patah balik. Sebagai seorang pemuda yang mencari platform untuk ‘melawan’, DAP mempersembahkan pilihan yang terbaik. Tak berkompromi, tak pernah berkahwin dan tidur dengan UMNO; ‘tiada hubungan kelamin dengan UMNO’. Ini kiasan saja la haa..

*sambil ketawa terbahak-bahak. Selepas saudara berkempen di Bukit Mertajam pada PRU lalu, adakah saudara rasa orang di BM bersemangat dan teruja tentang politik? Adakah mereka berminat?

Sekarang lebih bersemangat berbanding dulu. Kalau nak dibanding dengan zaman 1998, waktu itu saya pun masih ‘1Malaysia’ dan penuh pemikiran wawasan 2020; tetapi gelombang pada 1998 adalah antara gelombang yang pertama (tanpa mengambil kira yang dulu) melihat kebangkitan anak muda. Dan kemudian pada 2008, itu gelombang kedua.

Tetapi pada PRU yang baru selesai, kita melihat lebih ramai anak muda yang sebelum ini langsung tak kisah mengenai politik. Dan banyak rasa tidak peduli mereka ini ada asasnya, kerana dia rasa bukan dia tak sayangkan negara, tapi dia rasa orang politik ni semua sama saja. Pilih mana-mana pun ‘kantoi’ juga. Tapi pada PRU lalu, kita melihat mereka ini mengambil peranan besar dalam kempen. Bukan sahaja dengan membelanjakan wang untuk pulang mengundi dari luar negara, malah kita melihat mereka menawarkan diri untuk menjadi pekerja kempen. Malah ada yang membuat kumpulan sukarelawan sendiri untuk menghalang pengundi hantu pada hari mengundi, tanpa mendapat arahan pun daripada parti politik.

Memang ada semacam satu kemuncak kesedaran politik di kalangan anak muda di Bukit Mertajam.

Jadi sekarang mereka sudah ada keberanian untuk berfikir dan melakukan sesuatu yang masuk akal? Seperti tajuk buku saudara?

Mungkin mereka merasakan akhirnya bahawa adalah amat perlu bagi mereka mengambil bahagian secara langsung dalam politik. Dulu mungkin mereka rasa macam ambil bahagian pun tak guna, tetapi pada PRU-13 lalu baru mereka sedar bahawa sumbangan mereka memang boleh mencetuskan perubahan.

Kita boleh lihat pada laman Facebook saya dan di sekitar Bukit Mertajam pun, ada ramai anak muda yang bertanya bagaimana untuk mereka menyertai DAP. Dalam Jun ini Jawatankuasa Perhubungan akan mengadakan kempen mendaftarkan ahli baru, sekurang-kurangnya 505 orang. Malah sebelum kempen ini bermula pun sudah begitu ramai yang bertanya bagaimana nak masuk DAP.

Mereka telah melihat bahawa tindakan mereka mengambil bahagian itu sudah boleh membuat perubahan, dan saya merasa bahawa kesedaran ini amatlah penting.

Buku anda bagaimana pula? Apa yang anda tulis?

Saya menulis buku itu (Audacity to Think), kerana dua objektif.        Pertama untuk merekodkan perjalanan saya sendiri dalam pemikiran dan pendidikan politik. Supaya mungkin dalam masa 30 tahun lagi apabila kita semua dah jadi menteri, kita boleh menoleh ke belakang dan melihat sejarah serta memeriksa diri sendiri sama ada kita telah berlaku adil dan jujur terhadap jalan politik yang kita pilih.

Tujuan kedua saya menulis buku itu; buku yang selalu kata boleh dihabiskan dalam satu minggu menaiki pengangkutan awam, mensasarkan orang muda yang bekerja, bersekolah yang boleh membaca buku itu sewaktu dalam perjalanan. Saya mahu menjemput mereka (generasi saya terutamanya) untuk ikut serta melakukan apa yang saya panggil ‘pemikiran politik’ supaya kita boleh memikirkan dengan mendalam melangkaui retorika politik yang begitu cetek dewasa ini (yang selalunya UMNO punya pasal) sehingga semua berakhir dengan soal kaum dan agama.

Saya mahu mengajak orang ramai untuk berfikir secara lebih jauh, demi melakukan apa yang disebut bahasa kiri lama sebagai analisa sosial, bagi menyoal kenapa sesuatu kejadian berlaku dengan cara ia berlaku. Buku tersebut adalah bacaan yang ringan kerana saya mahu seberapa ramai mungkin pembaca untuk berinteraksi dengan saya. Bukan semestinya untuk bersetuju dengan saya tetapi berinteraksi. Itulah tujuan analisa sosial; kita berinteraksi dengan satu sama lain dan melihat jauh melangkaui segala yang dangkal dan cetek; serta melihat bagaimana sesuatu perkara boleh terjadi seperti apa yang terjadi hari ini.

Apa visi dan harapan anda sebagai Ahli Parlimen bagi Bukit Bendera.. eh salah, Bukit Mertajam..

Jangan salah bukit weih. Sebenarnya ada tiga bukit. Satu lagi Bukit Gelugor. Jangan salah bukit.

Jadi apa visi anda untuk Bukit Mertajam?

Pada PRU yang lalu, Bukit Mertajam dengan caranya yang tersendiri telah mengukir nama yang gemilang. Kita nombor dua dalam bilangan jumlah majoriti undi. Orang Bukit Mertajam telah menyatakan dengan lantang dan jelas serta berani bahawa mereka mahukan kerajaan yang bersih, baik dan adil.

Ketika saya di Kuala Lumpur beberapa minggu lalu, mereka yang tidak pernah datang ke Bukit Mertajam tiba-tiba saja bertanya ‘Eh Bukit Mertajam canggih aa.. eh kat mana tempat ni?’. Mereka sangakakan tempat ini begitu ulu dan kampung. Saya kata kalau Bukit Mertajam ini ‘kampung’, kami adalah kampung yang sangat berani kerana orang BM sangat berani; bilangan majoriti kedua tertinggi!

Jadi sebagai wakil rakyat yang telah dipilih, peranan saya sebenarnya ialah mengisi aspirasi warga BM yang menginginkan kerajaan yang bersih, baik dan adil. Malang kerana kita masih belum dapat menawan Putrajaya disebabkan taktik kotor pihak tertentu pada PRU lalu. Tetapi sebelum kita menjadi pentadbir di Putrajaya, apa yang saya boleh yakinkan pengundi di kawasan saya ialah saya tidak akan sama sekali membiarkan Najib melalui hari-harinya di Parlimen dengan bersenang lenang. Saya tidak akan biarkan UMNO bersuka ria di Parlimen. Mandat yang diberikan kepada saya sangat jelas. Mereka mahu kerajaan yang bersih. Jadi sebelum kita boleh menjadi kerajaan yang mereka mahukan itu, kita boleh pastikan sekurang-kurangnya BN dan UMNO tidak akan tenang di Parlimen.

Dan pastinya cita-cita kita ialah untuk UBAH, dan itu tidak berubah. Semangat yang tinggi untuk UBAH pada PRU ke-13 masih belum mati dan berhenti, berdasarkan apa yang saya lihat. Bukan sahaja di Bukit Mertajam, malah di seluruh Malaysia. Rakyat Malaysia masih benar-benar teruja untuk UBAH; dan kita pastinya akan menjadi sebahagian daripada gerakan itu.

Selesai wawancara saya dengan Ahli Parlimen muda ini, saya lihat anak matanya menjeling pinggan mee goreng saya. Sekonyong-konyong itu beliau bertanya, ‘Ini you nak makan lagi tak?’ lalu saya kata tak mahu.

Steven lantas tolong mengutip pinggan kertas saya itu dan membuangkan sisanya ke pinggannya sendiri. Kemudian dibawa menuju tong sampah terdekat lalu dibuang. Tidak seperti sesetengah ahli politik yang hanya akan tinggal sampah makanan dan mengharapkan ada pegawai khas yang datang bersihkan. Ini barulah betul Yang Berkhidmat. – Roketkini.com

Baca bahagian pertama wawancara Steven Sim: https://www.roketkini.com/2013/06/07/sepinggan-mee-di-tepi-pantai-bersama-steven-sim-bahagian-1/