Berita

MP Bakri diberi amaran keras, tidak kena tindakan disiplin

KUALA LUMPUR, 12 JUN: DAP akan memberi amaran keras kepada Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa kerana melanggar arahan parti menghadiri sesi taklimat di Parlimen semalam.

Bagaimanapun, Ketua Whip DAP, Anthony Loke, berkata Ahli Parlimen Bakri itu tidak akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin DAP memandangkan beliau mengakui melakukan kesilapannya dan memohon maaf.

Menurutnya, keputusan memberi surat amaran itu dibuat setelah berbincang dengan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

“Pihak kepimpinan parti memandang serius perkara itu dan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Er Teck Hwa semalam untuk beliau memberi penjelasan kepada parti.

“Saudara Er Teck Hwa telah memberi penjelasan secara bertulis dan memohon maaf di atas tindakan beliau itu,” jelasnya.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, perkara itu perlu dijadikan pengajaran bukan sahaja kepada Ahli Parlimen berkenaan malah kepada semua Ahli Parlimen DAP supaya sentiasa bertindak secara kolektif dan mematuhi keputusan pucuk pimpinan parti.-Roketkini.com