Berita

EAIC ‘alat’ BN, tidak pernah tunai janji -Tony Pua

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) perlu profesional dan menerima hakikat bahawa kerajaan tidak serius dalam menambah baik perkhidmatan mereka.

Menurut Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua, beliau akan menjadi orang pertama yang akan memuji kerajaan jika mereka bertindak serius menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dan mengheret mereka yang bersalah kemuka pengadilan.

Pua berkata demikian sebagai menjawab kritikan Pengerusi EAIC, Datuk Seri Heliliah Mohd Yusof semalam yang mendakwa Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah menyokong sebarang usaha ‘penambahbaikan’ yang dibuat kerajaan.

“Kritikan PR terhadap EAIC adalah benar dan tidak boleh terus ditolak EAIC. Malah, saya tidak ragu-ragu mencabar Heliliah membuktikan bahawa EAIC benar-benar berjaya mencapai maksud dan memenuhi matlamat penubuhannya.

“Tapi hakikatnya kerajaan tidak serius dan mahu ianya gagal dengan hanya seorang pegawai penyiasat sehingga hari ini ditugaskan untuk menjaga 19 agensi kerajaan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dalam kenyataan, hari ini.

Heliliah pada November 2012 dalam laporan media mendedahkan statistik bahawa bermula April 2011 hingga 16 November 2012, jumlah keseluruhan aduan yang diperoleh pihaknya ialah sebanyak 330 aduan yang mana 237 daripada aduan itu membabitkan pihak polis.

Pua dalam masa yang sama mengecam EAIC yang dicipta Barisan Nasional (BN) pada 2011 yang semata-mata bertujuan menenangkan tekanan terhadap pelaksanaan IPCMC.

“EAIC hanya ‘harimau tanpa taring’ dan sebahagian ‘kerja-kosmetik’ menenangkan permintaan orang ramai untuk IPCMC, di samping memenuhi bantahan daripada anggota polis,” katanya.

Beliau turut mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low untuk memasukkan ke dalam EAIC cadangan yang dibuat Suruhanjaya Diraja Siasatan (RCI) pada 2005 untuk IPCMC jika benar ‘IPCMC dan EAIC adalah nama yang sama’ seperti didakwa sebelum ini.

“EAIC itu pada asasnya hanyalah sekadar ‘pejabat pos’ untuk merujuk kes kembali kepada panel jawatankuasa berhubung institusi yang terjejas dengan masalah disiplin, tanpa mempunyai kuasa untuk mengenakan hukuman kepada anggota yang bersalah,” sindir Pua.

Isu kematian dalam tahanan mencetuskan reaksi negatif pelbagai pihak, malahan PR mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya mengambil tindakan tegas terhadap anggota polis terbabit.

IPCMC dicadangkan pada 2005 oleh Suruhanjaya Diraja yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah tetapi ditentang polis.-Roketkini.com