Berita

Pembaharuan rohani rakyat Malaysia dihalang kuasa ekstrem Dr Mahathir, Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Rakyat Malaysia mesti melalui proses pembersihan sebagaimana filsuf Greek, Aristotle antara yang pertama memperkenalkan perkataan ‘catharsis’ yang bermakna ‘pembersihan atau penyucian yang membawa pembaharuan rohani menuju ke arah kerajaan mesra rakyat yang menghormati demokrasi, kebenaran, kebebasan, keadilan, integriti dan kebajikan sosial.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata tentangan Barisan Nasional (BN) terhadap pembaharuan rohani untuk semua rakyat Malaysia ini dihalang kuasa ekstrem dan regresif yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Hayat politik Malaysia dikuasai orang Melayu dan DAP tidak pernah langsung menuntut posisi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri, walaupun Mahathir masih boleh memutar belit keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kononnya menunjukkan ‘perkauman Cina’ yang dimarak DAP bagi memastikan dominasi komuniti itu dalam politik Malaysia.

“Mahathir dan UMNO sedang cuba mengalih perhatian bahawa BN pertama kali kalah undi popular dalam sejarah dengan hanya mendapat 47% berbanding 51% yang dimenangi Pakatan Rakyat; dengan hanya merangka keputusan dengan rangka perkauman Cina lawan Melayu,” katanya ketika berucap kepada 40 Ahli Parlimen dan ADUN DAP dari seluruh negara yang melawat sambil belajar ke Pulau Pinang, hari ini.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, ini sebenarnya bukan sangat bahagian demografik tetapi lebih kepada pecahan ruang atau geografi antara bandar dan desa; di mana Pakatan Rakyat menang undi di bandar tetapi tewas di luar bandar merangkumi semua kaum tanpa mengira Melayu, India, Cina, Iban atau Kadazan.

Beliau berkata, puak pelampau dalam UMNO tidak menghiraukan fakta bahawa masyarakat Cina hanya 25% daripada jumlah populasi negara. Walaupun setiap seorang Cina menyokong Pakatan Rakyat, dari mana datangnya baki 26% undi popular itu.

“Di Terengganu dengan kurang daripada 5% pengundi Cina, apakah pengundi Cina juga penyebab UMNO hampir kehilangan negeri berkenaan yang dimenangi hanya dengan kelebihan dua kerusi iaitu 17 BN dan 15 Pakatan Rakyat.

“Apabila Mahathir mendakwa hanya Karpal Singh yang dilantik ke Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, adakah Sdr M Kulasegaran, Gobind Singh Deo dan Zairil Khir Johari yang juga dilantik ke dalam CEC juga berketurunan Cina? UMNO sekali lagi menipu bahawa DAP memenangi undi di kawasan majoriti Cina sambil tidak mempedulikan keputusan bersejarah calon Melayu dan Cina DAP yang menang di kawasan majoriti Melayu dengan jumlah majoriti selesa.

“Contohnya di Seremban, kerusi Parlimen di Negeri Sembilan dimenangi Sdr Anthony Loke Siew Fook dengan majoriti 12,553 undi atau 53% undi popular di kawasan 44% pengundi Melayu, 14% pengundi India dan 41% pengundi Cina.

“Di Raub pula kerusi Parlimen di Pahang dengan 50% Melayu, Cina (40%), India (6%) dan lain-lain bangsa 4%, di Duyung kerusi DUN di Melaka, dengan 50% pengundi Melayu, Mentakab kerusi DUN di Pahang dengan 52% Melayu, 40% Cina, 6% India dan 2% lain-lain; di Derga kerusi DUN di Kedah dimenangi Tan Kok Yew dengan 1,156 undi, dengan kawasan yang mempunyai 56% Melayu, 39% Cina, 4% India dan 1% kaum lain,” tambahnya.

Menurut Guan Eng, DAP lebih mewakili Malaysia berbanding UMNO, MCA atau MIC dengan mempunyai wakil rakyat daripada  kalangan Cina, India, Melayu dan Kadazan.

Katanya, yang pastinya Mahathir rela membunuh Bangsa Malaysia Wawasan 2020 demi menurut agenda perkauman. Malang sekali, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak rela melihat Timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yassin pula membunuh slogan 1Malaysia demi menyokong Mahathir.

“UMNO menggunakan rasisme untuk melepaskan diri daripada menangani punca sebenar BN kehilangan 51% undi popular rakyat Malaysia adalah petanda jelas penolakan terhadap korupsi, kronisme dan salah guna kuasa BN.

“Rakyat Malaysia dengan tabah berdepan dan mengatasi tindakan provokatif seperti boikot terhadap produk yang dihasilkan perniagaan orang Cina, memburuk-burukkan orang Cina sebagai musuh orang Melayu.

“Muhyiddin secara terbuka mengancam untuk tidak membantu masyarakat Cina malahan Utusan Malaysia mahu meraikan pembunuhan rakyat Malaysia yang tidak bersalah di dalam rusuhan 13 Mei,” ujarnya.

Guan Eng juga terharu dengan tindakan berani ramai orang Melayu yang menolak agenda perkauman UMNO dan Utusan Malaysia.

“Kita tidak boleh berputus harapan tetapi perlu meneruskan perjuangan menuju semangat pembaharuan untuk Malaysia baru. Ingatlah apa yang dinyatakan filsuf Amerika, Eric Hoffer, “Tidak kira betapa mulia matlamat sesuatu kerajaan, sekiranya ia menenggelamkan tatasusila dan kebaikan, merendahkan nilai nyawa manusia dan membiakkan rasa benci dan saling curiga – itu merupakan kerajaan yang zalim”.-Roketkini.com