Berita

PM, KPN dicabar struktur semula pasukan polis, laksana IPCMC

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar melaksanakan penstrukturan semula pasukan polis dengan fokus utama menangani kes jenayah di samping melaksanakan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) jika masing-masing serius untuk membanteras jenayah.

Beliau berkata, jika benar Perdana Menteri dan KPN serius untuk memerangi jenayah, mereka mesti melaksanakan dua perkara berkenaan iaitu penstrukturan semula pasukan polis dan menubuhkan IPCMC.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara menganggap kempen perangi jenayah menerusi “Bersatu Menentang Jenayah” sebagai sia-sia, sebaliknya menggesa pasukan polis distruktur semula.

Katanya, beberapa kejadian jenayah yang berlaku di tempat terbuka di sekitar Lembah Kelang dan merebak ke beberapa kawasan lain membuktikan program terbabit satu usaha sia-sia, kerana penjenayah masih bebas dan belum berjaya diberkas.

Beliau menggesa Najib dan KPN melaksanakan saranan utama Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dikemukakan pada 2005 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika benar-benar mahu menangani isu jenayah yang semakin berleluasa.

“Najib dan Khalid juga diharap tidak hanya pandai menabur janji tapi tidak melakukan sebarang tindakan sehingga hampir setiap malam berlaku rompakan terbuka di Lembah Klang.

“Apakah Lembah Klang sudah menjadi kawasan tanpa undang-undang kerana sejak dua malam lalu, dua kejadian membabitkan kumpulan perompak bersenjata berlaku di restoran terbuka di Kepong, Cheras dan Kajang.

“Malah dilaporkan bahawa pihak polis menerima empat laporan mengenai kes sedemikian di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya dalam tempoh dua minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Khalid juga mengumumkan dengan bangganya mahu menetapkan keselamatan sebagai keutamaan dan ‘mengembalikan’ jalan awam kepada rakyat tetapi tidak nampak sebarang hasil daripada janji itu.

Pua juga kesal dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tidak mempedulikan saranan Laporan RCI itu agar 20,000 anggota berseragam atau 22 peratus daripadanya ditugaskan menjalankan kerja pengawasan yang sebenar.

“Malangnya saranan itu tidak dipedulikan Kementerian Dalam Negeri dan berharap Ahmad Zahid tidak lagi menganggap isu peningkatan jenayah sebagai ‘persepsi awam’. Persepsi yang perlu diubah sebenarnya adalah persepsi kerajaan terhadap jenayah.

“Sejak lapan tahun lalu, Jabatan Siasatan Jenayah (CID) merangkumi hanya sembilan peratus daripada pasukan polis, ia tidak berubah sejak dulu lagi.

“Jumlah itu sangat berbeza berbanding 41 peratus anggota polis yang menjalankan kerja pengurusan dan 31 peratus ditugaskan Pasukan Simpanan Persekutuan,” tambah Pua.
Putrajaya melaporkan antara 2009 dan 2012, kadar jenayah kebangsaan menurun 27 peratus sementara jenayah jalanan menurun 39.7 peratus.

Polis juga mendakwa kadar jenayah menurun enam peratus untuk suku tahun pertama 2013 berbanding tempoh yang sama tahun lalu tetapi beberapa kumpulan mempertikaikan angka tersebut, mengatakan ianya telah diubah.

Kes terbaru yang mendapat perhatian awam adalah mengenai pembunuhan dan percubaan merompak terhadap wanita berusia 52 tahun, Irene Ong di Bukit Gasing pada April lalu yang mengundang rasa marah dan sedih ke atas pemergian wanita terbabit.

Pengerusi Pemantau Jenayah MyWatch, R Sri Sanjeevan mengatakan Putrajaya dan polis hanya memberitahu jenayah adalah satu persepsi dalam tindak balas terhadap kebimbangan awam.

Februari lalu, MyWatch menuduh polis mengubah statistik jenayah, mendakwa kes ragut dan samun tanpa senjata api serta kecurian dan pecah rumah, adalah lebih tinggi daripada indeks jenayah diterbitkan antara Januari dan Oktober 2011.

Bagaimanapun, polis menafikan melakukan memanipulasi angka jenayah negara.-Roketkini.com