Wawancara

Daripada wartawan jadi wakil rakyat, anak Pantai Remis tidak kekok berkhidmat

PANTAI Remis bukanlah tempat yang asing bagi kaki pancing dan penggemar makanan laut. Di sinilah kawasan pendaratan ikan segar terbesar di Perak selain Pulau Pangkor dan kawasan sekitar. Di balik deru bot nelayan memecah hening subuh menongkah laut. Di sebalik deretan kampung nelayan, di sini jugalah lahirnya seorang pemimpin wanita muda. Wong May Ing, anak bongsu daripada lima beradik.

Jika dahulu beliau pernah membantu ibunya menjual kuih lapis di pasar sehingga tamat sekolah, kini tanggungjawabnya semakin besar. Wong May Ing, anak bongsu daripada lima beradik ini sudah bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Perak apabila dipilih masyarakat kawasannya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) baru-baru ini.

Ikuti, wawancara eksklusif wartawan Roketkini.com, Hafiz Zainuddin mengenali personaliti politik wanita muda ini berkenaan titik mula, perjuangan dan pandangan beliau mengenai anak muda, wanita dan masyarakat umumnya.

Di mana saudari sebelum ini atau muncul dengan tiba-tiba?

(Senyum) Saya memulakan karier saya sebagai seorang wartawan di Oriental Daily kawasan Manjung mulai 2003 hingga 2005. Kemudian saya mendapat tawaran bekerja sebagai wartawan dan editor di akhbar The Rocket edisi Bahasa Mandarin mulai 2005 sehingga diberi tugas yang lebih besar dalam parti pada 2008.

Daripada seorang wartawan kepada seorang ahli politik, boleh saudari ceritakan?

Memang pada asalnya saya tidak berminat untuk jadi ahli politik. Minat politik dan minat untuk menjadi ahli politik lain (senyum). Minat saya untuk ambil tahu mengenai politik tercetus ketika zaman reformasi tahun 1998. Saya ingat lagi masa itu saya menuntut di Kolej New Era (NEC).

Pada mulanya ketika jadi wartawan di The Rocket saya hanya minat untuk bekerja.Tetapi, kerjaya saya selama ini dalam dunia wartawan menjadikan saya makin peka kepada isu semasa. Apa yang buatkan saya lebih teruja ialah apabila melihat semangat yang ditunjukkan pemimpin DAP sendiri. Mereka pegang pada prinsip dan berjuang untuk semua rakyat Malaysia.

Pengalaman berpolitik

Saya menyertai DAP pada 2008. Antara pemimpin DAP yang bagi dorongan kepada saya masa itu untuk jadi ahli ialah saudari Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh) dan  Liew Chin Tong (Ahli Parlimen Kluang). Teresa pernah beritahu saya, jika jadi ahli lebih baik tetapi kalau tak mahu pun tak apa. saya memilih untuk jadi ahli.

Setelah itu saya diberi tanggungjawab sebagai Setiausaha Organisasi Wanita DAP Kebangsaan. Saya juga pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Datuk Ngeh Koo Ham, (Ahli Parlimen Beruas) pada 2008 sehingga Februari 2013 dan pada masa sama pernah menjadi Ketua Pejabat DAP Negeri Perak. Saya juga pernah terbabit dalam beberapa kempen pilihan raya kecil dan Pilihan Raya Negeri Sarawak bermula pada 2006 ketika di The Rocket.

Bukankah ‘politik itu kotor’?

Dulu ramai berfikir begitu tetapi hakikatnya politik tidak kotor. Yang kotor adalah sebahagian ahli politik. Politik amat penting. Sebab, dengan lebih ramai orang faham politik, mereka akan lebih bermaklumat dan dapat bantu orang lain.

Sistem politik Malaysia adalah sistem Demokrasi Berparlimen, rakyat buat pilihan. Ini bererti, masyarakat dan politik saling berkait sebab melalui dasar yang ditentukan sesebuah kerajaan, ia mempengaruhi kehidupan seharian kita semua.

Jika kita lihat suasana sekarang. Ramai orang muda minat dalam politik dan menyokong Pakatan Rakyat (PR). Apa dan mengapa?

Ya. Betul. Isu utama bagi orang muda ialah tekanan hidup dan rasuah. Saya suka ambil contoh mereka yang tinggal di bandar. Nak keluar rumah sahaja sudah kena bayar tol seperti di Lembah Klang. Kemudian, terpaksa pula bersesak-sesak nak pergi kerja. Jadi ini membabitkan kos lain seperti kos petrol dan masa.

Orang muda sekarang melihat isu rasuah ini bukan isu kecil tapi besar. Kini ramai yang berpendidikan, mereka boleh kira jumlah rasuah atau penyelewengan sebesar ini, apa yang dapat diberikan untuk rakyat. Kita juga tak boleh nafikan, rasuah juga telah menyebabkan kenaikan harga keperluan, masalah ekonomi dan lain-lain.

Tadi orang muda, bagaimana pula pandangan saudari mengenai pembabitan wanita dalam politik

Memang bagus. Sudah tentu ini akan memberi kelebihan kepada golongan wanita. Bagi saya secara peribadi ia amat membantu diri saya sendiri membina keyakinan diri dan merupakan cabaran positif untuk saya. Masyarakat kita perlu keluar daripada pemikiran lama masyarakat kita tak kira kaum apa pun.

Selama ini golongan wanita sejak kecil selalu kita dengar, mereka diberitahu kalau belajar atau pandai macam mana pun, akhirnya mereka akan berkahwin dan ada anak. Jadi tak perlu ‘pandai banyak-banyak’. Suasana sekarang ini nampaknya sudah berubah. Peranan wanita dan lelaki amat penting dalam membangunkan negara.

Jika wanita tidak terlibat dalam politik, kita cuma akan ada pemimpin lelaki sahaja. Jadi, kemungkinan tak banyak suara wanita dapat diketengahkan. Kita perlu akui bahawa wanita akan lebih faham diri mereka sendiri.

Kita ke Pantai Remis, apa agenda utama saudari di sana dan bagaimana penerimaan masyarakat terhadap DAP?

Di Pantai Remis, sekarang kami di sana akan menggantikan Pusat Khidmat DAP kepada Pusat Komuniti DAP Pantai Remis. Jadi, fungsinya akan lebih besar. Sekarang kita sudah ada kelas kaligrafi dan ada perpustakaan kecil, kita juga bercadang untuk anjurkan kelas komputer dan kelas Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris untuk siapa sahaja yang berminat. Ini masih dalam perbincangan.

Selain itu yang penting sekarang adalah beri perkhidmatan. Saya merancang untuk lebih banyakkan lagi aktiviti kemasyarakatan seperti aktiviti melawat, ziarah penduduk.

Daripada segi penerimaan, undi kepada DAP memang banyak peningkatan. Kalau pilihan raya umum 2008 DAP dapat sekitar lima ribu lebih majoriti, kali ini kita mendapat 9,471 majoriti. Ini disebabkan lebih ramai orang muda yang mendaftar dan pulang ke kampung mengundi.

Sambutan masyarakat Pantai Remis okay. Di bandar DAP dapat sambutan menggalakkan masyarakat Cina. Bagi kampung Melayu dan India, kita dapat banyak sokongan daripada teman PR terutamanya PAS di sana. Kita masuk ke kampung Melayu dan India bersama PAS dan PKR. Setakat ini memang wujud peningkatan undi orang Melayu kepada DAP. Cuma saya masih belum dapat lagi data penuh.

Penglamanan berkempen?

(Tersenyum) Ada yang buat tak layan terutamanya bila bertemu terus di pasar atau ke rumah-rumah. Tetapi apa yang menarik bagi, bila kami edarkan risalah ke warung di kampung Melayu, sambutan memang baik. Ada beberapa warung yang kami singgah laungkan  “Ini kalilah”.

Kali ini saya lihat ramai wanita juga hadir ke program politik seperti ceramah yang kita anjurkan. Tak macam dulu. Ramai juga tidak kira lelaki dan wanita datang ke bilik gerakan kita dan Tanya “apa saya boleh tolong”. Saya memang terharu dengan sokongan yang diberikan. Nampaknya kesedaran politik semakin kuat di kalangan masyarakat.

Bagaimana kempen parti lawan (Barisan Nasional)?

BN banyak bagi tumpuan di kawasan masyarakat India. Mereka selalu buat jamuan dan beri sumbangan. Di kawasan Cina pula, mereka sering melawat tokong dan turut berikan sumbangan berbentuk wang. BN jarang buat ceramah, kalau ceramah pun tak ramai datang. Jadi kalau berkempen mereka banyak buat makan.

Bagi kawasan Cina, BN mainkan isu perkauman, mereka kata jangan undi Pakatan Rakyat (PR) sebab kalau PR menang, mereka kata orang Cina akan hilang kuasa. Begitu juga di kawasan Melayu, mereka cakap perkara sebaliknya. Mereka main isu kaum.

Sebenarnya, isu kaum memang tak sesuai sebab sekarang semua orang boleh dapat maklumat. Contohnya, bila ke Bersih dan Himpunan Kebangkitan Rakyat, bukan Cina sahaja yang datang, semua rakyat terbabit. Lebih-lebih lagi orang muda. Mereka sudah tidak kisah mengenai kaum. Yang penting ialah polisi yang baik untuk semua. Ini pemikiran orang muda. Dulu lain sebab akses kepada maklumat tidak ada.

Pesanan untuk pembaca

Jemput datang ke Pantai Remis (senyum). Bagi saya keadilan itu penting. Apapun budaya kita atau agama, keadilan meliputi semua golongan dan kelas masyarakat. Untuk capai keadilan, kita perlu satu sistem yang adil. Siapa sahaja yang susah perlu dibantu. Ini sangat penting. Dengan itu, barulah masyarakat kita boleh hidup dengan lebih selesa, berasa lebih selamat dan bersatu, tidak  ada prasangka, harmoni. Sebab itu DAP amat menitik-berat keadilan sosial. Sama seperti ideologi parti Demokrasi Sosial yang menjamin keadilan untuk semua. Ini kita kena faham.-Roketkini.com