Berita

EAIC perlu diganti dengan IPCMC kerana gagal siasat aduan

GEORGETOWN, 14 JUN: DAP mendesak Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) diganti segera dengan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) kerana agensi itu gagal berfungsi dengan baik.

Ia berikutan kritikan pelbagai pihak terhadap EAIC termasuk oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad yang mempertikai kegunaan serta kemampuan EAIC.

Tambah mengecewakan, apabila melantik seorang daripada pegawai penyiasat EAIC, Mohd Nadzri Ibrahim pula dipercayai terbabit dalam kes kematian Teoh Beng Hock.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menyatakan demikian dalam satu kenyataan bersama semalam.

“Menurut Tun Hamid, sebanyak 347 aduan diterima tetapi hanya 60 aduan yang dimajukan untuk siasatan lanjutan. Daripada jumlah itu, hanya tiga yang disiasat penuh, dan akhirnya dua kes ditutup atas sebab pendakwaan dua kali dan satu sahaja yang dirujuk kepada Lembaga Disiplin Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, Nur Afizah Hanum sendiri mengaku bahawa beliau tidak tahu sama ada tindakan disiplin diambil terhadap pegawai berkenaan,” ujar mereka.

Menurut mereka, sejak EAIC ditubuhkan di bawah kelolaan Jabatan Perdana Menteri, ia hanya mempunyai kuasa menyiasat dan memberi cadangan tanpa apa-apa kuasa penguatkuasaan.

“Ini menyebabkan agensi penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan PDRM menjadi leka dan tidak mengikuti Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang betul,” jelas mereka.

Menguatkan hujah itu, mereka berkata, kes kematian dalam tahanan semakin meningkat iaitu sembilan kes tahun ini dan empat kes dalam dua minggu lalu.

Sehubungan itu, Zairil dan Steven Sim mahu agar pelantikan anggota IPCMC dilakukan secara telus dan bebas melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang mempunyai keanggotaan daripada kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan oposisi.

“IPCMC juga perlu bebas daripada campur tangan badan eksekutif dan bukannya diletakkan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri seperti EAIC,” tambah mereka lagi.-Roketkini.com