Berita

Najib disaran berunding dengan PR untuk pilih Speaker Dewan Rakyat

KLUANG, 14 JUN: DAP menyarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar segera memulakan rundingan dengan pemimpin Pakatan Rakyat berhubung isu pemilihan Speaker Dewan Rakyat.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, rundingan perlu dilakukan supaya Speaker yang akan dilantik dapat bekerja baik dan saksama serta tidak memihak.

Menurut beliau, dalam negara yang mengamalkan demokrasi ala Westminster seperti di Kanada, India dan lainnya, Perdana Menteri biasanya akan berunding dengan oposisi dalam memilih Speaker dan kemudiannya mengemukakan kepada Ahli Parlimen calon yang paling layak untuk mengelak pungutan suara serta pertikaian pada awal sesi.

“Sejak hari pertama di kerusinya, Speaker perlu menunjukkan sikap tidak berpihak. Speaker Parlimen United Kingdom (UK) misalnya memutuskan hubungan dengan parti politik. Malah ianya tidak dipilih menurut garis parti.

“Speaker Parlimen UK sekarang, John Bercow, adalah anggota parti Konservatif tetapi beliau memainkan peranan sebagai speaker sejak Julai 2009, ketika Parti Buruh masih menguasai kerajaan,” kata Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang dalam kenyataan, semalam.

Beliau menegaskan, jika langkah itu tidak diambil, sekiranya pungutan suara diperlukan, ia perlu dijalankan secara rahsia bagi memastikan kedudukan Speaker sebagai pihak berkecuali.

“Ada dua ciri penting pada Parlimen kali ini, memandangkan UMNO/BN hanya meraih 47 peratus undi pada pilihan raya umum lalu, maka kesahihannya dari segi politik dipertikaikan.

“Kedua, Pakatan Rakyat (PR) mempunyai kekuatan yang ampuh dan mesti dipandang serius kerana ia memegang lebih daripada sepertiga kerusi di Dewan Rakyat,” katanya

Menurutnya lagi, Malaysia adalah sebuah negara yang unik kerana Parlimen membolehkan seseorang yang bukan Ahli Parlimen dipilih sebagai Speaker.

“Amalan ini tidak pernah dibuat di negara lain yang mengamalkan demokrasi Westminster dan ia diperkenalkan ketika Tun Dr Mahathir untuk membolehkan Tun Ahmad Zahir Ismail menjadi Speaker, bermula sejak 14 Jun 1982 sehingga beliau meninggal dunia pada 14 Oktober 2004.

“Ketika itu Mahathir agak terasing dalam UMNO dan kemungkinan besar beliau bimbang usul undi tidak percaya terhadapnya dikemukakan, dengan itu beliau meletakkan seorang bekas hakim di kerusi itu bukannya Ahli Parlimen daripada UMNO.

“Langkah itu boleh dicontohi dalam keadaan semasa, di mana seorang tokoh yang dihormati oleh kedua-dua pihak iaitu pemerintah dan pembangkang, boleh dipilih sebulat suara untuk menjadi Speaker bagi Parlimen ke-13,” ujarnya. -Roketkini.com