Sastera

Wanita dan novelnya mengoncang dunia Oleh Aliff Fikri

HARRIET Beecher Stowe adalah seorang wanita yang lahir pada 14 Jun 1811, bukan dari keluarga miskin. Beliau lahir dari keluarga pemimpin agama yang alim dan intelektual di Litchfield, Connecticut, Amerika Syarikat. Beliau juga mendapat pendidikan istimewa walaupun ketika itu kebanyakan wanita sukar untuk mendapatkan akses pendidikan formal.

Secara mudahnya, beliau menikmati semua kemudahan dan keperluan terbaik yang ditawarkan pada zamannya kecuali di saat menikah dengan seorang ilmuwan pendiam dan kurang naluri keghairahan iaitu Calvin Ellis.

Stowe membesar di tengah ledakan musibah yang sehingga hari ini saya kira masih belum selesai sepenuhnya di Amerika, perhambaan dan penindasan terhadap kulit hitam. Beliau sendiri melihat di depan mata bagaimana keluarganya yang diangkat sebagai pemikir agama turut melakukan penyeksaan kepada warga kulit hitam. Bagaimana mungkin orang yang kuat pegangan agama boleh menjadi penindas? Sedangkan agama melarangnya..

Namun, pada 1840, ketika akhbar dan media dipenuhi perdebatan mengenai masalah itu, beliau memilih untuk keluar daripada zon selesa dengan menyimpang daripada menyokong perhambaan yang dianuti hampir seluruh rakyat Amerika.

Kehidupan Stowe berubah dengan tiba-tiba pada 1852, ketika beliau menerbitkan novel bertajuk ‘Uncle Tom’s Cabin’. Pada minggu pertama, novel itu terjual sebanyak 10,000 dan membawanya menjadi penulis anti perhambaan dan anti rasisme paling terkenal di dunia ketika itu.

Ketika perang sivil (Civil War) meledak pada 1861, Uncle Tom’s Cabin terjual hingga 4 juta biji. Setahun kemudian, ketika beliau dijemput ke ‘White House’ dan bertemu dengan Abraham Lincoln, Stowe disambut dengan sapaan daripada Presiden itu dengan kalimat, “Jadi, kaulah wanita yang menulis buku penyebab pada perang besar ni!”. Stowe tersenyum.

Uncle Tom’s Cabin merupakan satu novel yang paling berpengaruh di dunia namun novel itu diejek kerana agak melodrama. Tidak hairanlah, George Orwell menyebutnya ‘novel buruk yang baik’. Sebab, yang berharga daripada novel itu bukan prestasi sasteranya, tapi keseriusannya berurusan dengan dunia nyata.

Berpusat pada kehidupan seorang individu kulit hitam, Uncle Tom’s Cabin membawa pembaca ke dunia jual-beli manusia. Dalam novel itu kita boleh melihat bagaimana anak-anak dipisahkan daripada ibu mereka oleh pedagang kulit putih yang dilindungi oleh sistem perhambaan yang dilembagakan.

Jadi apakah punca beliau menulis novel yang akhirnya memacu pada perang saudara itu? Mengapa seorang perempuan berkulit putih yang hidup mewah dan selesa menulis novel yang menginspirasi banyak bangsa untuk bersimpati pada nasib kaum tertindas?

Jawapannya adalah, Anak.

Pada 1848, Stowe melahirkan Charley, anak keenamnya. Entah daripada sebab apa beliau menyifatkan anak itu sebagai ‘kebanggaan dan harapanku’. Secara terbuka, beliau memberi perhatian yang lebih kepada Charley berbanding anaknya yang lain. Namun, ketika berusia setahun setengah, Charley meninggal kerana wabak taun yang menjangkiti saluran penghadaman anaknya itu. Wabak taun itu mengorbankan hampir 9,000 rakyat Amerika. Duka yang mendalam itu memberi tekanan dan menghantui hidupnya. Beliau tidak mampu lari daripada bayangan penderitaan yang meragut nyawa anaknya dan berasa sangat menyesal kerana tidak mampu melakukan apa-apa.

Kematian Charley adalah inspirasi yang berkeladak menjadi kisah penuh kehidupan dalam Uncle Tom’s Cabin. Peristiwa tunggal yang merobek hati itu membuat Stowe memahami apa yang dirasakan sesama wanita ketika anak mereka diambil untuk diperah secara paksa dan dijual untuk menjadi hamba. Kesedihan itu umpama gunung berapi Beerenberg di Norway yang menunggu masa melimpahkan bahan bakar dan ia sekaligus memberi wawasan kepada Stowe untuk melawan penindasan terhadap perhambaan serta penindasan tanpa mengira warna kulit.

Pada saya, tulisan novel Uncle Tom’s Cabin bukan sekadar perihal kehebatan cinta ibu kepada anak. Kisah itu dengan jelas menunjukkan bahawa aktiviti menulis dan membaca karya sastera rupanya boleh mengubah dunia. Uncle Tom’s Cabin membakar jiwa manusia untuk merasai penderitaan sesamanya dan menggerakkan mereka supaya menentang penindasan.

George Orwell pernah menyatakan “i write because there some lie that I want to expose, some fact to which i want to draw attention, and my initial concern is to get a hearing,” katanya dalam Why I Write.

Orwell menganggap menulis sebagai aktiviti politik. Ia bermaksud membaca juga adalah tindakan subversif, bukan semata-mata hiburan atau hobi pada masa lapang.

Tapi, betulkah demikian? Tidak banyak penulis pada zaman sekarang yang mahu melakukannya. Parahnya lagi, pembaca lebih sering hanya ingin berhibur atau menjadikan pengetahuan yang mereka dapat sebagai anak tangga untuk mencapai status peribadi dan akhirnya secara tidak sedar menjadi penindas kepada orang lain.

Menyedihkan saat menyedari hal seperti itu terjadi di tengah kepungan masalah sosial-politik.

Tidak semua orang mampu menjadi wanita yang mahu keluar daripada hidup selesa dan mengubah kesedihan menjadi kekuatan seperti Harriet Beecher Stowe.-Roketkini.com