Berita

Apa lagi ROS mahu? – Anthony Loke

SEREMBAN, 18 JUN: Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook kecewa dan mempertikai tindakan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), Datuk Abdul Rahman Othman yang mengeluarkan kenyataan media meminta DAP mengemukakan keterangan dan bukti mengenai silap kira undi yang didakwa berlaku ketika pemilihan Jawatan Eksekutif Pusat (CEC), Disember lalu.

Menurut beliau, isu silap kira undi itu tidak sepatutnya dipersoalkan kerana sudah diselesaikan kerana setiap dokumen dan bukti mengenainya sudah diserahkan kepada ROS.

“Kami sudah berkali-kali mengatakan bahawa kami bersedia untuk berikan kerjasama sepenuhnya kepada ROS dalam siasatan mereka dan setiap dokumen yang mereka minta dalam tempoh beberapa bulan ini sudah kami bekalkan.

“Siasatan sepatutnya sudah selesai dan sekiranya ROS masih tidak dapat menyelesaikan siasatan, ia membuktikan kelemahan dan ketidakcekapan mereka. Apa lagi ROS mahu?,” soalnya yang juga Ahli Parlimen Seremban dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut mempertikai mengapa hanya siasatan dilakukan terhadap DAP yang menjadi perhatian, sedangkan masih banyak siasatan yang perlu dilakukan ROS terhadap parti lain yang tidak dapat diselesaikan.

“Kenyataan demi kenyataan media ROS hanya bertujuan menimbulkan persepsi negatif orang ramai terhadap DAP dan menggugat keyakinan ramai terhadap kredibiliti pimpinan parti.

“Apakah ia telah menjadi satu prosedur bagi ROS mengeluarkan kenyataan media setiap kali mereka meminta DAP memberi keterangan atau bukti?

“Mengapa hanya siasatan terhadap DAP diberi perhatian oleh ROS sedangkan siasatan terhadap parti politik lain tidak pernah diwarkan untuk pengetahuan media?,” ujarnya.

Katanya lagi, dakwaan Abdul Rahman dan ROS yang mengatakan kandungan surat bertarikh 17 April lalu telah dimanipulasi oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga tidak benar sama sekali.

“Saya ingin bertanya kepada Abdul Rahman dan ROS, apakah kandungan surat pada 17 April lalu yang didakwa telah dimanipulasi DAP?

“Dakwaan itu adalah melulu dan tidak berasas sama sekali. Setiap kali kami mengadakan sidang akhbar untuk memberi reaksi terhadap ROS, salinan surat daripada ROS diedarkan kepada wartawan sebagai bukti,” tegasnya.-Roketkini.com