Rencana

Mengatasi desifit oleh si pembuat defisit oleh Mahdzir Ibrahim

DALAM laporan terbaru media massa, Perdana Menteri yang mendapat mandat minoriti, Najib Tun Razak melaporkan Malaysia akan mengetuai satu Jawatankuasa untuk mengurangkan defisit negara menjelang 2015.

Jika benar, pasti belanjawan negara terus mengalami defisit. Ini kerana beliau sendiri sebahagian daripada pembuat defisit. Malah ketika menjadi Menteri Pertahanan, kementerian Najib setiap tahun berbelanja besar hingga mengalami defisit. Adakah Najib merancang membuat lawak demokrasi?

Jika kita melihat prestasi Kementerian Pertahanan sahaja, sekitar 20 tahun lalu, perbelanjaan pertahanan negara membabitkan jumlah yang besar sebanyak RM180 bilion. Malah purata perbelanjaan pertahanan setiap tahun mencecah hampir 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara antara 1987 dan 2004.

Sebagai fakta untuk difahami berkenaan dengan isu belanjawan defisit.

1.     Sejak merdeka Negara mengalami belanjawan defisit sebanyak 41 kali.

2.     Sepanjang merdeka hingga kini juga negara kita diperintah oleh UMNO BN.

Jadi apa lagi yang UMNO/BN boleh kata? Adakah ini hasutan PR/DAP ? Adakah ini satu tuduhan melulu tanpa asas atau fakta?

Kita tambah lagi fakta jika UMNO/BN anggap kita cuba menuduh tanpa bukti, pada 2011 Bank Dunia melaporkan bahawa kadar defisit Belanjawan Malaysia ialah kira-kira 4.5 peratus daripada KDNK berbanding  Indonesia (1.2 peratus), Singapura (1.3 peratus), Korea Selatan (1.5 peratus), Thailand (1.5 peratus), Taiwan (2.3 peratus) dan Vietnam ( 2.6 peratus).

Adakah ini yang dimaksudkan sebagai pencapaian cemerlang UMNO/BN?

Bagaimana desifit terjadi khususnya dalam konteks Malaysia? Hanya ada dua faktor iaitu salah atau cuai mengurus dan sengaja berbelanja lebih.

Sebagai satu daripada contoh akibat faktor salah urus atau cuai, Lebuh Raya Desaru, oleh kerana silap mengira kos pengambilan tanah, maka kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan sebanyak RM375 juta. Ini laporan daripada Jabatan Audit Negara 2010, bukan laporan daripada akhbar Utusan Malaysia.

Contoh lain akibat daripada faktor sengaja berbelanja lebih iaitu isu pembelian kapal selam Scorpene dengan harga RM3.8 bilion sedangkan India membayar hanya RM2.8 bilion dan Chile RM2.0 bilion. Adakah kapal selam kita itu mempunyai lebih aksesori berbanding yang dibeli India atau Chile?

Ini hanya sebahagian contoh ‘kejayaan’ kerajaan UMNO/BN. Itu belum lagi menyentuh skandal lain yang entah berapa ribu juta duit rakyat lebur akibat ‘kecemerlangan’ pengurusan UMNO/BN. Kesan yang ditinggalkan ialah apabila Jabatan Audit Negara membuat laporan yang mana, laporan sebegini akan digelapkan oleh media UMNO/BN seperti Utusan Malaysia dan TV3.

Akhinya kita bertanya, ke mana akhirnya ini semua? Adakah PRU-14 jawapannya? Sama-sama kita saksikan tupai membaiki labunya.-Roketkini.com