Berita

Pakatan Rakyat desak tubuhkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai TPPA

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Pakatan Rakyat (PR) mendesak UMNO/BN supaya menubuhkan segera Jawatankuasa Terpilih Parlimen dwi-partisan mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) demi kepentingan masyarakat.

Perkara ini ditegaskan oleh Ahli Parlimen Klang DAP Charles Santiago, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen, Pengarah Pusat Penyelidikan & Pembangunan PAS Dr Dzulkefly Ahmad dan wakil Institut Rakyat Azrul Azwar dalam sebuah kenyataan bersama hari ini.

Mereka menyatakan bahawa tindakan UMNO/BN yang tidak meletakkan TPPA dibawah pengawasan Parlimen akan akhirnya menyebabkan rakyat terpaksa berhadapan kekangan dalam memastikan hak-hak sosio-ekonomi dan kedaulatan negara dihormati serta dilindungi.

“Kami memuji MITI kerana menganjurkan mesyuarat dan berjanji memberikan salinan laporan UNDP yang ditapis dalam masa dua minggu lagi tapi kami tetap komited untuk memperjuangkan ketelusan dan penglibatan awam yang lebih tinggi semua aspek TPPA tersebut.

“Dengan itu, Jawatankuasa Terpilih harus ditubuhkan segera kerana amanah rakyat adalah tertumpu pada pendedahan yang telus dan bertanggungjawab,” kenyataan tersebut dipetik.

Antara perkara khusus yang menjadi persoalan adalah isu kawalan kerajaan ke atas pasaran kewangan, penyelesaian pertikaian antara pelabur-kerajaan (ISDS), harga farmaseutikal dan perubatan, serta kebimbangan umum terhadap kurangnya ketelusan dan maklumat tentang teks rundingan TPPA.

“MITI mengakui kewujudan kertas CBA dibentangkan kepada Kabinet pada tahun 2010, iaitu laporan 2010 United Nations Development Programme (UNDP) yang atas arahan Kerajaan Malaysia. Dalam perkembangan yang sedikit positif, kami telah dijanjikan sesalinan laporan tersebut dalam masa dua minggu tanpa disertakan maklumat rundingan,” ujar kenyataan tersebut.

Menurutnya lagi, hak kedaulatan negara untuk melaksanakan dasar-dasar ekonomi dan kawalan modal perlu dijaga dan diurus selia dengan baik agar ianya tidak tergugat.

“Pendedahan teks rundingan Australia baru-baru ini yang menyentuh kawalan modal, dan kewujudan peruntukan sebegini dalam lain-lain perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang telah ditandatangani bersama Amerika Syarikat, memaksa kita untuk bersiap sedia demi memastikan hak kedaulatan negara untuk melaksanakan dasar-dasar ekonomi dan kawalan modal tidak hilang.

“Selain itu, tiada sebarang maklumat mengenai rangka kerja pengurusan eksploitasi, penerokaan dan pembangunan sumber hidrokarbon dan mineral negara masing-masing. Ia sesuatu yang penting untuk meredakan kebimbangan dan tidak membenarkan syarikat asing untuk mendesak hak mengekstrak sumber semula jadi negara kita berdasarkan terma-terma TPPA itu.”

Pada 14 Jun lalu, pimpinan PR telah bertemu dengan wakil-wakil MITI yang diketuai Datuk Rebecca Sta Maria, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian serta salah seorang perunding utama bagi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), J Jaya Siri.

Pertemuan tersebut dilakukan untuk membincangkan perihal kebimbangan terhadap TPPA, perjanjian perdagangan bebas yang akan mengancam perniagaan tempatan dan mengakibatkan negara terdedah pada perdagangan berat sebelah.

Mesyuarat itu sehari selepas kegagalan dialog antara MITI dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

Katanya lagi, berhubung kos kesihatan, MITI dan Kementerian Kesihatan juga telah berjanji untuk mencari keseimbangan inovasi dan memastikan harga ubat-ubatan kekal berpatutan.

“Kami juga diberitahu bahawa perbincangan masih berterusan dan tiada peruntukan yang berkaitan telah mencapai fasa berasaskan pernyataan. Isu berganda mengenai data empunya (proprietary data) dan lanjutan tempoh eksklusif adalah amat penting bagi, kita tidak boleh kehilangan akses tatkala membincangkan harga berbanding akses.

“Malah, masa semakin suntuk memandangkan pusingan dan rundingan TPPA seterusnya akan diadakan pada bulan Julai 2013 dan pernyataan muktamad dijangka berakhir pada Oktober 2013.

“Walaupun kami sedar bahawa kerahsiaan amat diperlukan dalam semua rundingan perdagangan, namun kami bimbang kurangnya usaha untuk melibatkan orang awam terutamanya berkait prinsip-prinsip asas kedaulatan negara dan kesan sosio-ekonomi TPPA tersebut,” tegas kenyataan terbabit. – Roketkini.com