Berita

Speaker harus bebas, berkecuali – Lau Weng San

PETALING JAYA, 18 JUN: DAP menyambut baik cadangan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) untuk mencalonkan mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman, sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi persidangan Parlimen ke-13.

Setiausaha Organisasi DAP Selangor, Lau Weng San berkata, beliau juga menyifatkan cadangan itu adalah usaha murni ke arah mewujudkan persidangan dewan yang sepenuhnya adil dan bebas.

“Kami mahu individu yang dilantik Speaker nanti mestilah daripada kalangan mereka yang bebas, berkecuali, berwibawa dan berkelayakan untuk berkhidmat.

“Walaupun peluang Abdul Kadir menjadi Speaker tipis kerana beliau dijangka tidak akan mendapat undi daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), tapi pencalonan beliau sudah pasti akan membuka minda rakyat terhadap kepentingan jawatan itu,” katanya dalam kenyataan.

Weng San yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku berkata, jawatan Speaker sekarang ini bukan lagi boleh dipandang remeh seperti dulu kerana ia penentu kelancaran perjalanan institusi berkenaan.

“Jika Speaker kuat, maka perjalanan, prestasi malahan martabat Dewan Rakyat keseluruhannya juga meningkat dan tidak dilihat sebagai rubber stamp semata-mata dan pihak eksekutif perlu sentiasa menjawab kepada Dewan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mengecam tindakan BN yang masih mahu mengekalkan Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai Speaker sedangkan terbukti mempunyai kepentingan politik, malah tidak mampu menguruskan persidangan dengan baik.

“Saya mengatakan kebebasan Pandikar Amin terbukti kerana masih kekal keahliannya dalam UMNO. Ini sedikit sebanyak mengugat kewibawaannya ketika mempengerusi persidangan Dewan Rakyat.

“Dalam praktis negara yang mengamalkan sistem Westminster, mereka yang dipilih menjadi Speaker sebenarnya perlu meletakkan jawatan dan berundur daripada parti politik masing-masing.

“Contohnya seperti Speaker untuk ‘House of Commons’ Parlimen British, John Bercow sebelum ini adalah Ahli Parlimen kawasan Buckingham dan pernah memegang jawatan penting dalam Parti Konservatif. Namun sebaik dilantik Speaker, beliau terus berundur daripada partinya,” tegasnya.-Roketkini.com