Berita

Malaysia perlu PM untuk semua rakyat

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Persoalan sama ada Cina boleh atau tidak menjadi Perdana Menteri (PM) tidak penting, tetapi yang pentingnya negara ini perlu mempunyai seorang PM untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, daerah atau status sosio-ekonomi.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mungkin merasakan beliau berbudi terhadap kaum Cina di Malaysia sebab itu menasihatkan mereka menjauhkan diri daripada “perkauman ekstrem” yang dibawa DAP agar Malaysia suatu hari nanti boleh mempunyai seorang PM daripada kaum Cina.”

Bagaimanapun, katanya, kenyataan Shahidan itu ada dua kesilapan besar iaitu pertama mendakwa DAP “menyemai” semangat “perkauman ekstrem” di kalangan masyarakat Cina dan kedua, beliau membangkitkan soal PM daripada kalangan orang Cina sedangkan perkara itu tidak termasuk dalam pertimbangan politik orang Cina di Malaysia.

Beliau berkata, soal PM daripada kalangan Cina tidak penting, kerana yang penting adalah samada Malaysia mempunyai seorang PM untuk semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, daerah atau status sosio-ekonomi.

“DAP tidak pernah mendoktrin atau menyemai “perkauman ekstrem” di kalangan masyarakat Cina. Sejak parti itu ditubuhkan 46 tahun lalu, iaitu pada 1966, kami mengajak semua rakyat Malaysia membentuk jati diri dan kesedaran bangsa Malaysia, merentasi perbezaan perkauman, kesukuan, kebudayaan dan kedaerahan.

“Justeru itu sepanjang 46 tahun sejarahnya, DAP tidak pernah mengajak kepada perpaduan Cina, perpaduan Melayu, perpaduan India, perpaduan Kadazan, atau perpaduan Dayak, sebaliknya parti itu menyeru semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, atau daerah, ke arah Impian Malaysia, bukan Impian Cina, Impian Melayu, Impian India, Impian Kadazan atau Impian Dayak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, dalam wawancara eksklusif Sin Chew Daily, Isnin lalu, Shahidan berkata: “Jika kaum Cina sanggup keluar daripada sempadan perkauman dan bergabung ke dalam masyarakat Malaysia bersama kaum lain, mengamalkan perkongsian kuasa, saya percaya suatu hari nanti Malaysia akan mendapat seorang perdana menteri daripada kaum Cina.”

Bagaimanapun, katanya, wawancara menyingkapkan dua perkara iaitu sejauh mana Mahathirisme mempengaruhi pemikiran beliau dan betapa cetek kefahaman beliau mengenai aspirasi golongan Cina atau bukan-Melayu, dan ini menimbulkan pertikaian samada Shahidan seorang Menteri Melayu atau Menteri Malaysia.

Untuk makluman Shahidan, DAP sejak awal lagi berpegang dengan integrasi dan asimilasi sebagai asas pembinaan bangsa Malaysia untuk menyatukan pelbagai kaum, agama, bahasa, dan budaya sehingga muncul satu warna Malaysia yang unik.

Mengenai tulisan Mahathir sepanjang sembilan perenggan berjudul “Racial Polarisation” di blognya boleh dianggap contoh terbaik menggunakan pembohongan untuk mengapi-api dan melaga-lagakan kaum.

Antara pembohongan Mahathir dalam blognya:

  • DAP mengapi-apikan kebencian terhadap Melayu

  • Ceramah Black 505 di seluruh negara yang diadakan untuk membantah penipuan dan salah laku pada PRU-13 adalah manifestasi “perkauman Cina”, sedangkan orang Melayu adalah yang paling ramai menyertai kebanyakan ceramah Black 505; dan

  • DAP menolak konsep perkongsian Melayu/Cina/India, kononnya kerana: “DAP mahu Cina yang menguasai ekonomi untuk turut menguasai politik Malaysia. Ia terang-terang rasis dan menolak perkongsian kuasa dan kekayaan yang dibawa BN.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menganggap kenyataan rasis, sembarangan, dan menghasut yang dibuat Mahathir sebelum PRU-13 ketika berbohong bahawa beliau bertanding di Gelang Patah kerana mahu:

  • Kaum Cina di Gelang Patah dan Johor “menolak kerjasama dan perkongsian dengan Melayu”;

  • Cina di Johor “membenci Melayu” untuk mewujudkan “ketegangan dan perseteruan di antara kaum”;

  • Meweujudkan “pertembungan kaum yang tidak sihat” di antara Melayu dan Cina di Johor sehingga “mengganggu dan menjejaskan pembangunan Malaysia.”

Beliau berkata, bagaimana seorang manusia yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun boleh bersikap sebegitu tidak bertanggungjawab sehingga sanggup membuat kenyataan perkauman yang tidak bertanggungjawab, sembarangan dan menghasut.-Roketkini.com