Wawancara

Ombak tsunami rentasi Laut China Selatan

Nama: Alice Lau Kiong Yieng

Umur: 32 tahun

Status: Bujang

Pendidikan: International Medical University, Kuala Lumpur dan University of Strathclyde, Glasgow, Scotland (Master of Pharmacy)

Jawatan: Naib Setiausaha Penganjur Wanita DAP Kebangsaan, Setiausaha DAP Bukit Assek.

Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu menyaksikan ombak tsunami akhirnya menjarah perlahan-lahan merentasi Laut China Selatan, sekaligus menggoncangkan negeri yang dilabel sebagai antara negeri ‘deposit tetap’ Barisan Nasional (BN) iaitu Sarawak apabila DAP berjaya menembusi lima kerusi Parlimen di negeri itu.

Apa yang lebih membuka mata umum adalah buat pertama kali dalam sejarah PRU, Sarawak mempunyai wakil wanita sebagai Ahli Parlimen dengan kemenangan Alice Lau Kiong Yieng di kerusi Parlimen Lanang, yang sedikit memberi lebih dimensi pada politik negara.

Wartawan Roketkini, Aliff Fikri dan Hafiz Zainuddin baru-baru ini mengambil peluang menemubual wanita yang berjaya membuka lembaran baru untuk landskap politik Sarawak iaitu Alice Lau untuk membincangkan jerih perihnya dalam usaha membawa kemakmuran kepada penduduk Lanang. Foto: Wira Andika

Apa yang akan saudari buat untuk masyarakat Iban di Lanang setelah menang pilihan raya umum lalu? Apakah fokus utama kepada mereka?

Fokus utama saya kepada masyarakat Iban adalah cuba untuk memberikan semua keperluan asas selengkapnya kerana apa yang mereka hadapi sekarang ini semuanya merangkumi keperluan asas, contohnya tidak mendapat bekalan elektrik, air dan kemudahan jalan raya.

Keperluan asas ini adalah perkara paling penting, bukan saja untuk masyarakat Iban tapi semua kaum di kawasan saya.

Selain keperluan asas berkenaan, masalah lain yang saya lihat adalah daripada segi pendidikan politik mereka yang sedikit lemah. Jadi ini adalah antara perkara yang perlu diberi fokus untuk masa depan.

Saya juga akan menumpu kepada pembangunan luar bandar dan kebajikan wanita di seluruh Sarawak. Misi saya adalah menghapus kemiskinan tegar. Kebajikan yang diberi kerajaan untuk penduduk miskin masih tidak cukup. Kita mahu kehidupan mereka lebih selesa.

Walaupun berlaku sedikit perubahan, masyarakat Sarawak dilihat masih cenderung memberi undi kepada BN. Apa sebabnya? adakah kerana pemberian BR1M dan wang?

BR1M memang mempengaruhi undi kali ini, kerana di kalangan Iban mereka merasakan hanya BN yang mampu memenuhi kehendak mereka sebab BN sudah lebih 40 tahun memerintah Sarawak, jadi mereka fikir hanya BN mampu menjadi kerajaan dan kalau BN tumbang sudah tidak ada kerajaan lagi.

Ini menjadi masalah, mereka tidak tahu bahawa kerajaan boleh ditukar. Jadi kalau tidak ada BN, mereka fikir nanti mereka tidak akan mendapat apa-apa.

Apakah saudari rasa kelemahan pendidikan politik ini berpunca daripada BN?

Ya, sudah tentu. kita tengok sehingga hari ini kenapa masyarakat Iban masih miskin? ini kerana BN terus menerus membiarkan hidup mereka dalam keadaan sengsara kerana mahu masyarakat Iban yang miskin terus bergantung hidup dan nasib kepada BN. Inilah cara mereka mempermainkan kaum Iban untuk mengekalkan sokongan dan undi.

Masa pilihan raya umum macam mana? Adakah saudari berjaya masuk ke semua kawasan kampung?

Semua kampung saya berjaya masuk kecuali di Dudong kerana penduduk risau kalau kita masuk mereka tidak lagi akan dapat projek yang diperoleh daripada BN. Waktu itu, ada satu projek rumah ‘batu’, jadi kalau kita masuk mereka takut projek itu tak dapat. Jadi ini memberi sedikit masalah kepada saya.

Apa yang akan saudari perjuangkan nanti di Parlimen?

Apa yang akan saya bawa di Parlimen adalah meminta penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai berapa sebenarnya jumlah peruntukan yang diluluskan di kawasan Parlimen Lanang kerana seperti yang diberitahu Ahli Parlimen Lanang sebelum ini bahawa 90 peratus bekalan air dan bekalan elektrik disalurkan di sana tapi daripada apa yang saya perhatikan selama hampir 18 tahun ini masyarakat tidak pernah mendapat bekalan elektrik.

Cuma selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) 2011 dan mengambil alih Dudong barulah mereka mendapat bekalan elektrik dan jalan yang sempurna.

Ini bukti BN sebenarnya takut apabila semakin merebaknya suara pembangkang maka semakin banyak kerja yang terpaksa dibuat.

Apakah itu puncanya undi di sana masih kurang memberangsangkan?

Puncanya adalah pada setiap sumbangan bekalan air yang mereka beri, mereka akan buat satu papan tanda tertulis projek 1Malaysia oleh Datuk Tiong Thai King.

Mereka tidak berani pakai logo BN sebab kebanyakan masyarakat Iban sudah menolak BN. Kalau mereka pakai logo BN, mereka akan lihat projek itu sebenarnya milik Taib Mahmud, jadi mereka tidak suka. Kalau pakai 1Malaysia mereka fikir ini bukan Taib Mahmud, jadi mereka sokong. Pada hal ianya sama saja.

Daripada segi peratusan undi berbanding pilihan raya kecil 2011?

Peratusan undi berbanding pilihan raya kecil 2011 dan PRU-13 lalu agak menurun sedikit.

Pada PRK 2011, peratusan di kawasan ini adalah 35 peratus tapi pada PRU-13 menurun kepada 28 peratus.

Bagaimanapun, jumlah undi penuh sebenarnya meningkat.

Adakah masyarakat kampung dan pedalaman menerima ugutan ketika pilihan raya umum?

Ada yang kena ugut. Contohnya ketika kita mahu menggantung banting di kawasan kampung, Ketua Kampung atau dipanggil Tuai beritahu saya bahawa mereka sudah diberi amaran jika mereka menolong memasang kain rentang mereka tidak lagi akan diberi projek dan duit.

Mereka fikir, pilihan raya adalah saat untuk mengambil duit, ia menjadi budaya di sana dan sukar untuk kita menghakis budaya yang diajar BN.

Berapa ramai sebenarnya masyarakat Iban yang mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)?

Jumlah mereka yang menerima bantuan JKM saya tidak pasti. Apa yang pasti adalah selepas PRK 2011, BN banyak beri projek kepada masyarakat Iban kerana mahu undi daripada Iban.

Bagaimana pandangan masyarakat Iban sekarang ini setelah Parlimen Lanang menjadi milik DAP? adakah mereka menyambut baik?

Saya kira ianya 50-50, ada yang positif dan ada yang negatif. Ada yang masih marah dengan kemenangan kita sebab mereka anggap seolah-olah kita menyekat projek mereka.

Ahli Parlimen sebelum ini melalui Projek Kecil Luar Bandar (MRP) akan beri RM500 untuk satu pintu kepada penduduk. Kita tidak ada MRP kerana kita bukan kerajaan pemerintah. Apa yang saya boleh buat adalah kutip derma, bekalkan baju, makanan dan lain-lain untuk tolong mereka.

Jadi penerimaan itu baik atau tidak?

Seperti yang saya sebutkan tadi, ada yang terima dan ada yang tidak. Memang sangat mencabar.

Macam saya beri derma 50 bag beras pada penduduk, bila sampai di sana mereka kata ada beras tanpa lauk tidak guna juga. Sukar sikit bagi saya kerana pemikiran mereka sudah ditanam dengan ‘kalau awak sudah dipilih sebagai Ahli Parlimen, awak perlu berikan semua’.

Sebagai Ahli Parlimen wanita, apa cabaran utama anda berkhidmat di sana?

Seperti yang kita ketahui, Sarawak adalah negeri yang sangat besar. Daerah dan kawasannya juga amat luas, jadi ia sangat mencabar bagi saya selaku seorang wanita untuk masuk ke pelusuk kampung dengan keadaan jalan tidak elok dan tidak ada kemudahan seperti di Semenanjung.

Saya terpaksa pergi ke satu-satu tempat seawal yang mungkin untuk bersemuka dengan penduduk. Walaupun ianya sangat mencabar, namun saya memandang cabaran itu sebagai dorongan untuk saya lebih berusaha.

Bagaimana pula penerimaan kalangan wanita?

Di Lanang, wanita lebih pro kepada DAP sebabnya sebelum ini di Sibu tidak pernah ada calon wanita dan saya adalah Ahli Parlimen wanita yang pertama dari Sarawak. Di sana, wanita lebih senang untuk mendapat penerimaan berbanding lelaki.

Adakah saudari menyokong usaha parti menggalakkan lebih ramai kaum bumiputera menyertai DAP?

Saya memang menyokong sepenuhnya, pada saya DAP bukannya parti yang menekan kepada satu kaum atau kaum tertentu saja.

Malaysia adalah negara berbilang kaum, jadi penumpuan itu perlu ke arah semua kaum. Untuk lebih memahami budaya dan pemikiran kaum lain, saya kira DAP perlukan penyertaan semua, tidak kira sama ada Melayu, India, Iban serta apa saja kerana DAP terbuka untuk semua.

Pesanan untuk golongan wanita di seluruh negara?

Wanita di seluruh negara perlu menanam pemikiran bahawa politik ini bukan kerja golongan lelaki saja, wanita juga perlu turut sama membabitkan diri.

Politik juga adalah soal tanggungjawab dan ia bukan khusus untuk lelaki. Untuk membawa negara ke arah yang lebih baik, kita perlu imbangan antara lelaki dan wanita ke arah masa depan yang lebih cerah.-Roketkini.com