Berita

Pengundi diragui: Polis diminta siasat tidak pilih bulu

KLANG, 19 JUN: “Kenapa laporan terhadap ‘orang asing’ yang mengundi diberi muka tapi pengundi sah rakyat Malaysia yang menahan pengundi diragui segera diambil tindakan?”

Itulah persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago di Mahkamah Majestret, di sini, hari ini dalam sebutan kes empat orang tempatan yang didakwa mencetus kekecohan di Pandamaran pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu.

Beliau yang tidak berpuas hati berkata, sehingga kini laporan terhadap pengundi diragui yang ditahan orang ramai ketika mahu mengundi itu tidak diambil tindakan.

“Sampai sekarang apa yang kita laporkan senyap. Pihak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu professional dalam menjalankan tugas dan bertindak terhadap keseluruhan maklumat yang diberi untuk menjamin keadilan terlaksana.

“Kami hairan kenapa jika isu yang membabitkan warganegara kita, pihak polis bersungguh-sungguh mengambil tindakan pantas,” katanya.

Dalam insiden kekecohan 5 Mei lalu, Santiago menuntut agar pihak polis bersikap adil dan meminta pengesahan daripada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) samada 18 pengundi yang meragukan itu adalah pengundi berdaftar atau tidak.

Ini kerana pihaknya mempunyai bukti bergambar seorang daripada 18 individu  yang ditahan itu mempunyai kesan dakwat kekal.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan berpilih pihak polis dan SPR dalam hal ini tidak sepatutnya berlaku.

“Bukan sahaja isu ini tapi juga membabitkan isu jenayah yang berlaku di seluruh negara.

“Mengapa pihak polis begitu prihatin terhadap kes ‘politik’  berbanding kes jenayah yang semakin meningkat?” soalnya.

Dalam sebutan kes hari ini, dua daripada enam orang yang didakwa mencetuskan kekecohan dibebaskan manakala empat lagi disiasat.

Sebutan kes bagi tertuduh yang diwakili tiga peguam pihaknya ialah Lim Siong Kwan, 33, Yap Kwee Heng, 37, dan Chua Kian Boon, 21, manakala seorang lagi tertuduh diwakili peguam peribadinya.

Sebutan kes kali kedua akan diadakan pada 25 Julai ini dan dijangka dibicarakan di mahkamah seawalnya Ogos ini.-Roketkini.com