Berita

Shahidan boleh jadi PM, jika tidak perkauman

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim bahawa suatu hari nanti akan ada perdana menteri berbangsa Cina jika mereka bersedia melangkaui sempadan kaum, bercampur dengan pelbagai kaum di Malaysia dan mengamalkan perkongsian kuasa dianggap permainan politik yang sangat licik dan nakal.

Setiausaha Politik kepada Pengarah Pendidikan Politik DAP, Mahdzir Ibrahim berkata, kenyataan itu seolah cuba menggambarkan masyarakat Cina di Malaysia ini begitu bersifat perkauman sehingga sanggup menjadikan jawatan Perdana Menteri sebagai umpan untuk orang Cina jika mereka tidak rasis sebagaimana gambaran beliau itu.

Katanya, Shahidan seolah-olah memberi motivasi kepada kaum Cina, kononnya sebagai balasan untuk tidak bersifat perkauman.

“Ini bukan sahaja satu gambaran buruk dan salah, malah ia satu penghinaan terhadap masyarakat terbabit ini kerana bukan sahaja Cina, Melayu atau kaum lain, tidak semestinya mahukan jawatan Perdana Menteri itu diisi berdasarkan keturunan, tetapi berdasarkan merit yakni karisma, kebolehpercayaan dan sifat amanah.

“Inilah kriteria untuk seseorang yang ingin menjadi Perdana Menteri selain harus mendapat sokongan rakyat terbanyak, sebagaimana yang diperlihatkan dalam jumlah undi popular kepada Pakatan Rakyat sebanyak 51% pada PRU-13 lalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Mahathir, adalah salah jika hanya kaum Cina dianggap menolak BN pada PRU-13 lalu, kerana bukan satu bangsa yang menolak UMNO/BN, tetapi rakyat pelbagai kaum di Malaysia, begitu juga calon PAS dan PKR mendapat sokongan majoriti pelbagai bangsa.

“Shahidan juga salah jika menganggap kaum Cina menolak BN kerana termakan hasutan DAP sedangkan semua rakyat tidak kira Melayu, Cina atau India menolak UMNO/BN kerana politik kotor dan budaya rasuah dalam parti itu di samping yakin dengan PR yang menunjukkan prestasi kerajaan PR cemerlang di Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia mahukan Perdana Menteri dan barisan menteri Kabinet yang amanah, bersih dan tidak perkauman dan percaya Shahidan juga boleh menjadi Perdana Menteri jika beliau tidak perkauman.-Roketkini.com