Berita

DAP desak MAHB jelas punca sebenar KLIA2 lewat

KUALA LUMPUR, 21 JUN: DAP harap Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) menghentikan adegan tuding-menuding termasuk menyalahkan pihak kontraktor sebagai punca kelewatan projek KLIA2, sebaliknya menjelaskan punca sebenar  kelewatan itu.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata, antara perkara yang perlu dijelaskan ialah mengenai peningkatan kos pembinaan sebanyak RM1.7 bilion.

“Kami ragu mengapa berlaku peningkatan kos dengan mendadak sebanyak RM1.7 bilion dan bagaimana ia boleh berlaku,” katanya dalam kenyataan media.

Berdasarkan keadaan ini, Pua juga tidak menolak kemungkinan wujud lebih banyak ‘caca-marba’ yang tidak diketahui umum.

“Ini bukan sahaja melibatkan skandal mega RM4 bilion, kami percaya banyak perkara yang disembunyikan dalam projek KLIA2 itu.

“MAHB mesti berterus-terang, berhenti terus menipu rakyat Malaysia selepas apa yang mereka lakukan dua tahun lalu,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Sebelum ini, Pengarah Urusan MAHB, Faizah Khairuddin mengumumkan penyiapan projek KLIA2 adalah pada 1 Mei 2013.

Bagaimanapun, tiga minggu lalu selepas diberi tekanan oleh Pakatan Rakyat (PR), mereka mengumumkan bahawa KLIA2 akan siap pada 2014 dan ianya ternyata  menimbulkan tanda tanya ramai pihak.

“Apa yang diberitahu pihak MAHB sekarang nampaknya tidak sama dengan apa yang mereka umumkan sebelum-sebelum ini. Apa yang terjadi sebenarnya?,” soal Pua. -Roketkini.com