Berita

DAP desak Pengerusi SPR, timbalan, lima anggota letak jawatan

GELANG PATAH, 21 JUN: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Timbalan dan lima anggotanya meletakkan jawatan masing-masing kerana gagal mendapat kepercayaan awam apabila gagal menjalankan pilihan raya yang bebas, adil dan bersih.

Katanya, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan lima Pesuruhjaya yang lain perlu meletakkan jawatan mereka kerana mengikut perlembagaan kedudukan mereka tergantung pada faktor kepercayaan orang ramai.

Mengikut Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya dilantik oleh Yang di Pertuan Agong setelah berunding dengan Majlis Raja-raja dan pada melantik anggota Suruhanjaya Pilihan Raya, Yang di Pertuan Agong perlu memberi perhatian terhadap “peri mustahaknya suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan awam.”

Menurut Kit Siang, selepas PRU-13, kontroversi mengenai pengurusan pilihan raya muncul kerana kegagalan SPR melaksanakan mandat yang diperuntukkan Perkara 113 Perlembagaan untuk “menjalankan pilihan raya” pada PRU-13.

“Sejak tahun 70-an lagi saya telah menghujahkan bahawa peruntukan ini secara tersirat memberi maksud “pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.”

“Bagaimanapun di sudut inilah SPR telah gagal, termasuk apabila ia menggunakan “dakwat kekal” yang tidak kekal; mengeluarkan daftar pemilih yang diragui, tidak bersih dan tidak komprehensif; membiarkan kempen pilihan raya dicemari oleh kesalahan pilihan raya dan perbuatan korup yang paling mencemarkan dalam sejarah negara, khususnya pada minggu terakhir kempen pilihan raya di Pulau Pinang apabila penduduk negeri itu tidak perlu memasak sepanjang minggu yang dipenuhi dengan pesta makan percuma, minum percuma, hiburan percuma, cabutan nombor bertuah percuma yang membabitkan hadiah yang mahal,

“Semuanya bertujuan menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang; dan membiarkan media cetak membuat laporan sebelah pihak yang memburuk-burukkan Pakatan Rakyat, selain menyalahgunakan media, jentera dan wang kerajaan,” katanya ketika berucap pada forum pertama Impian Malaysia yang bertema “Malaysia Pasca PRU13 – Cabaran dan Peluang”, anjuran Pejabat DAP Gelang Patah, di Hotel 11@Century, Johor Bahru, Kelmarin.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, buat pertama kali dalam sejarah 56 tahun negara, SPR menjalankan pilihan raya umum yang keputusannya membawa kepada pelantikan seorang Perdana Menteri yang legitimasinya dipertikai hebat, seperti yang dapat dilihat menerusi perhimpunan Black 505 yang diadakan di seluruh negara sejak selesai PRU-13 hingga sekarang iaitu kira-kira tujuh minggu.

Beliau berkata, tidak dapat disangkal lagi reputasi SPR selepas PRU-13 tercemar dan anggotanya dipimpin Pengerusi dan Timbalan Pengerusi, telah gagal mendapatkan kepercayaan awam untuk membenarkan mereka terus berada pada kedudukan sekarang.

“Abdul Aziz, Wan Ahmad dan lima Pesuruhjaya lain seharusnya dengan rendah hati dan sikap patriotik mengemukakan surat peletakan jawatan untuk membolehkan negara ini mula merombak sistem pilihan rayanya, agar rakyat Malaysia boleh berbangga di mata dunia apabila memiliki sistem pilihan raya yang boleh dijadikan contoh bagi negara lain dalam memastikan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil,” katanya.

Pada masa kini, SPR mempunyai tiga kewajipan mengikut Perlembagaan, iaitu menjalankan pilihan raya, menyediakan daftar pemilih menerusi pendaftaran pengundi dan melakukan persempadanan kawasan pilihan raya.

Menurut Kit Siang, dengan membahagikan semua tugas itu kepada tiga badan yang berlainan, seperti yang dilakukan di negara lain, kepercayaan awam terhadap pengurusan pilihan raya di negara ini dapat dipulihkan.

“Berikan kepada kita sebuah SPR yang tugasnya untuk menjalankan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil, dengan segala kuasa yang diperlukan untuk memastikan semua ciri-ciri itu dipenuhi, termasuk mendakwa pihak yang melakukan kesalahan pilihan raya atau menggantung pilihan raya yang tidak memenuhi ciri-ciri pilihan raya yang baik.

“Dua fungsi selebihnya iaitu medaftar pengundi dan menyediakan daftar pengundi serta melakukan persempadanan kawasan pilihan raya, boleh dijalankan dua agensi berlainan menerusi proses yang saksama, cekap, boleh dipertanggungjawabkan dan telus,” katanya.-Roketkini.com