Berita

DAP mahu UMNO berhenti bersifat munafik tentang agenda Melayu

RAUB, 21 JUN: Orang Melayu perlu sedar bahawa kepincangan sosio ekonomi masyarakat itu berpunca daripada pembodohan dan sikap pemimpin UMNO yang tidak sudah-sudah ‘bermunafik’ konon memperjuangkan nasib bangsa.

Melerai kebuntuan yang berlaku, Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz mahu orang Melayu tidak menyalahkan kaum lain di atas kejayaan atas kerja keras mereka sebaliknya melihat kembali bagaimana UMNO merosakkan maruah bangsa.

“Pemimpin Melayu UMNO perlu berhenti daripada bermunafik mengenai agenda Melayu yang sering diberi makna baru, tapi keadaan tidak juga berubah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, biarpun pelbagai bantuan dan tongkat diberi kepada orang Melayu,  seramai 8.7 juta mereka masih hidup dengan pendapatan RM1,500 sebulan manakala tujuh juta daripadanya menerima BR1M kerana berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

“Ini tidak patut berlaku. Ini bukti UMNO gagal menyelesaikan agenda utama Melayu. Kenapa perlu salahkan kaum lain? Kenapa salahkan DAP?,” soalnya.

Katanya, UMNO selama ini sekadar bertopengkan perjuangan bahasa, agama dan raja semata-mata mahu terus berkuasa.

“Semua kita dinaungi Perlembagaan, mengapa perlu takut,” kata beliau lagi.

Beliau berkata, agenda utama Melayu yang sebenar ialah memerangi kemiskinan, mencari kerajaan yang komited kepada menyelesaikan masalah orang Melayu dan  mencari pimpinan yang mendahulukan kepentingan seluruh rakyat.

“Yang miskin dikeluarkan daripada kemiskinan. Agendanya ialah mengurangkan Melayu sebagai penerima bantuan kebajikan. Begitu juga dengan kaum lain. Ini keadilan.

“Kemudian bagi yang tidak ada hak milik tanah diberi hak milik. Pemuda yang tidak bertanah diberi tanah supaya mereka boleh berdikari dan hidup bermaruah,” ujarnya.

Beliau sedih apabila mendedahkan wujud ribuan orang Melayu di kawasannya hidup dan mati di atas tanah mereka tanpa diberi hak milik oleh kerajaan UMNO-BN.

“Mereka berkeadaan demikian sejak 1969. Kenapa? Kerana pimpinan Melayu UMNO sibuk mengagihkan tanah sesama sendiri dan sibuk mencari kawasan balak.

“Fakta ini disembunyikan pemimpin Melayu UMNO kerana mereka mahu menjaga imej dan kerana penipuan serta kemalasan mereka. Pemimpin Melayu UMNO sibuk menjuarai kepentingan puak mereka sahaja,” katanya panjang lebar.

Mohd Ariff Sabri yakin selagi Malaysia dikepalai UMNO, orang Melayu akan terus diperkotak-katikkan elit parti itu.

“Sekarang ini, UMNO tidak layak tetapkan agenda Melayu kerana mereka malas, korup dan dipimpin oleh gerombolan penyamun dan perompak.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga tidak boleh buat apa-apa kerana beliau berada dalam poket Mahathir. Najib akan meneruskan dasar Mahathir dan terus menjahanamkan bangsa Melayu,” katanya.

Justeru itu, beliau berpendirian bahawa tanggungjawab memperkasa ‘agenda’ Melayu berada  dalam tangan kita orang Melayu sendiri dan bukannya UMNO. -Roketkini.com