Berita

Mohamad Aziz diingat tidak ulangi kenyataan seksis

JOHOR BAHRU, 21 JUN: Wanita DAP kesal dengan tindakan Barisan Nasional (BN) melantik bekas Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz yang sering mengeluarkan kata-kata seksis sebagai Speaker baru Dewan Undangan Negeri Johor.

Setiausaha Publisiti Wanita Kebangsaan DAP, Medaline Chang berkata, pelantikan itu amat tidak wajar kerana Mohamad Aziz ketika menjadi Ahli Parlimen Sri Gading sering mengeluarkan kenyataan bersifat seksis pada persidangan Dewan Rakyat.

“Kami amat terkejut apabila mengetahui Mohamad Aziz dilantik sebagai Speaker Johor.

“Beliau adalah seorang daripada beberapa ahli politik BN yang terkenal dengan mengeluarkan kenyataan bersifat serangan gender dan seksis terutamanya di Parlimen. Mereka juga pernah mendakwa memiliki ‘kekebalan’ untuk mengucapkan kata-kata itu.

“Pada sidang Parlimen 2000, Mohamad Aziz telah memulakan ucapannya dengan mengatakan ‘jarang perempuan disentuh isunya oleh lelaki, tetapi perempuan sepatutnya disentuh lelaki,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sehubungan itu, katanya, Wanita DAP memohon Mohamad Aziz agar tidak mengulangi ucapan sedemikian dan bersikap profesional ketika menjalankan tugas sebagai Speaker.

“Kami dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh berharap dengan kedudukan baru beliau sebagai Speaker Johor, Mohamad Aziz akan berkelakuan lebih sopan, profesional dan mampu menahan diri daripada membuat kenyataan yang lebih seksis serta menentang sesiapa saja yang melakukan kecaman terhadap wanita,” katanya.

Madeline berkata, ucapan berbaur seksis sering kali diucapkan Mohamad Aziz di Parlimen, namun tidak ada sebarang permohonan maaf dilakukan walaupun didesak oposisi.

“Tidak ada satu pun daripada beberapa individu terbabit termasuk Mohamad Aziz yang pernah memohon maaf atau menunjukkan penyesalan atas kenyataan menghina dan menaikkan kemarahan ahli politik wanita.

“Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz pernah memberi amaran untuk menggugurkan Ahli Parlimen BN yang seksis daripada menjadi calon Pilihan Raya Umum (PRU). Tapi seperti biasa, ianya hanya cakap kosong dan mereka tetap tidak diberi sebarang hukuman.

“Kami juga maklum bahawa Kaukus Parlimen berhubung Kesaksamaan Gender yang ditubuhkan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sehingga kini tidak menunjukkan sebarang makna kerana tidak program mengenai sensitiviti gender dilakukan kepada Ahli Parlimen,” ujarnya.

Selain itu, menurut Madeline, wanita DAP turut mendesak Speaker Parlimen yang bakal dilantik nanti supaya bersikap tegas dengan memberi hukuman kepada Ahli Parlimen yang mengulangi kesalahan yang sama.

“Persidangan pertama Parlimen akan bermula 26 Jun ini, di bawah program transformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kita berharap untuk melihat perubahan yang membina di Parlimen dan menggesa Speaker agar tidak bertolak ansur lagi dengan kenyataan seksis atau menghina. Semua tindakan itu mesti ditegur sekeras-kerasnya,” katanya.-Roketkini.com