Isu Semasa

ASEAN bincang segera langkah atasi jerebu

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Malaysia perlu memanggil Mesyuarat Khas Menteri Alam Sekitar ASEAN membabitkan Indonesia, Singapura dan Malaysia untuk membincangkan langkah segera bagi menangani masalah jerebu yang melanda tiga negara berkenaan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, jerebu di Johor, khususnya di Johor Bahru, berada pada peringkat mencemaskan dengan bacaan aras pencemaran udara (API) di Kota Tinggi dan Pasir Gudang masing-masing mencecah 314 dan 323 pada jam 11 pagi tadi.

Katanya, rakyat Malaysia masih ingat mereka diberitahu bahawa kerajaan akan mengisytiharkan darurat jika API mencecah 301, tetapi nampaknya tidak ada keseriusan sama ada di pihak Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Alam atau pihak Kementerian Alam Sekitar dalam menangani jerebu sekarang walaupun ratusan sekolah telah ditutup sejak beberapa hari lalu disebabkan jerebu.

“Dalam menangani keadaan cemas akibat jerebu, siapa sebenarnya menteri yang bertanggungjawab? Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang baru, yang bertanggungjawab atas Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Alam, atau Menteri Alam Sekitar? Datuk Shahidan Kassim atau Datuk Seri G Palanivel?

“Tiada siapa tahu kerana kedua-dua menteri berkenaan membisu seribu bahasa, seolah-olah jerebu yang menyumbat pernafasan penduduk Johor bukan masalah mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, masa sudah tiba untuk dua menteri itu bersuara, bukan setakat memaklumkan kepada rakyat Malaysia mengenai rancangan menangani masalah mutu udara khususnya di Johor, malah langkah bersama akan diambil kerajaan Indonesia dan Singapura untuk mengawal dan mengakhiri kebakaran gambut dan hutan di daerah Riau, Sumatera tengah.

“Mereka juga perlu mendedahkan identiti syarikat Malaysia yang terbabit dalam kegiatan pembakaran terbuka demi keuntungan segera sehingga menjejaskan kesihatan dan persekitaran penduduk di tiga negara terbabit.-Roketkini.com