Berita

Tuduhan Jenice Lee mengarut, guna media BN burukkan DAP

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Semua Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang dijalankan di kawasan Pandan dan Ampang berlangsung dalam keadaan aman, adil dan profesional.

Setiausaha Organisasi DAP Selangor, Lau Weng San membidas tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee Ying Ha yang memburuk-burukkan imej parti dengan menuduh AGM cawangan kawasan itu diadakan secara tergesa-gesa dan tidak rasmi.

“Jawatankuasa Negeri tidak menjalankan AGM ini tergesa-gesa kerana ianya perlu dijalankan pada Mei dan Jun setiap tahun. Jawatankuasa Negeri juga tiada masalah dengan tempat mesyuarat kerana ia sebuah bangunan tertutup,” katanya.

Weng San yang juga ADUN Bukit Tunku yang kesal dengan tindakan Jenice berkata, tuduhan bahawa wujud ahli ‘hantu’ dan ahli cawangan yang tidak menerima pemberitahuan untuk menghadiri AGM pada 19 Jun lalu adalah tidak benar sama sekali.

“Ingin saya tegaskan bahawa semua yang hadir dalam AGM ialah mereka tersenarai sebagai ahli berbayar dalam cawangan itu.

“Saya dan petugas telah mengambil masa lebih satu jam untuk mengesahkan identiti semua ahli yang hadir bagi memastikan hanya ahli sah yang berhak mengambil bahagian dalam AGM,” jelas beliau.

Tambahnya, prinsip telus, terdapat dua cawangan iaitu cawangan Tasik dan Taman Putra yang tidak cukup korum menangguhkan AGM masing-masing.

“Adakah benar saya hendak menjalankan AGM cawangan secara tergesa-gesa sedangkan saya perlu menangguhkan AGM di dua cawangan berkenaan,” tambah Weng San.

Berikutan hal yang menjejaskan imej parti ini, Weng San menggesa bekas ADUN Teratai itu tidak mengeluarkan apa-apa lagi kenyataan yang memburuk-burukkan integritinya dalam menjalankan tugas sebagai Setiausaha Organisasi DAP Selangor.

“Tuduhan Jenice Lee itu menjejaskan reputasi saya sebagai Setiausaha Organisasi DAP Selangor jadi saya kesal dan kecewa dengan tindakan itu,” katanya.

Sehubungan itu, Weng San turut mempertikaikan mengapa Jenice Lee memilih untuk bersuara melalui media yang dikuasai oleh lawan DAP.

“Jika Jenice Lee ikhlas untuk menyertai semula DAP, beliau sepatutnya tidak berbuat demikian,” ujarnya.-Roketkini.com