Berita

Darurat jerebu: DAP kesal kerajaaan BN lembab, gesa kerajaan bertindak tangkas

KULAI, 23 JUN: Kesal dengan tindakan lembab kerajaan BN menangani masalah jerebu, DAP hari ini menggesa agar kerajaan mengambil langkah tangkas membuat pembenihan awan dan mengedarkan topeng muka kepada orang awam.

Menurut Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching, tindakan kerajaan sekadar mengishtiharkan darurat di Muar dan Ledang tanpa tindakan susulan adalah tidak wajar.

“Kerajaan sudah perlu menjalankan pembenihan awan, mengedarkan topeng kepada orang awam di Muar dan Ledang bermula sekarang tapi apa yang kerajaan buat?,” soalnya.

Beliau juga Ahli Parlimen Kulai itu turut berkata, kerajaan perlu efektif dengan mencontohi tindakan pantas Singapura yang sedang mengedarkan 1,000,000 topeng jenis N95 kepada 200,000 isi rumah miskin negara itu.

Beliau turut menggesa agar Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk G.Palaniveil mengadakan pertemuan segera dengan rakan sejawatnya Professor Balthasar Kambuaya di Indonesia bagi menyelesaikan masalah ini.

Pun demikian, pertemuan Palaniveil dengan menteri di Indonesia yang dijadualkan pada Rabu minggu hadapan disifatkan terlewat dan tidak serius.

Pagi tadi, Indeks Pencemaran Udara (API) di Muar telah mencatatkan bacaan tertinggi dan bahaya sebanyak 746 mata jauh lebih tinggi seperti yang pernah berlaku di pelabuhan Klang dan Kuala Selangor pada tahun 2005.

Dalam masa yang sama, Nie Ching menasihatkan orang awam agar mengambil langkah selamat dengan mengurangkan aktiviti di luar rumah bagi kawasan yang terjejas. – Roketkini.com