Berita

Hentikan salah guna kuasa, bebaskan Husam segera -Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mendesar agar Naib Presiden PAS, Husam Musa dibebaskan segera dari tahanan kerana ia jelas merupakan salah guna kuasa yang amat memalukan.

Menurut beliau, tindakan polis mengenakan reman selama 2 hari itu juga perlu dikutuk sekeras-kerasnya oleh semua pihak.

“Reman dua hari terhadap Husam atas alasan siasatan di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 mesti dikutuk sekerasnya semua rakyat yang waras pemikirannya.

“Penahanan ini merupakan bukti bahawa langsung tidak ada apa-apa perubahan dilakukan BN, selama ini mereka melaungkan untuk mengembalikan kebebasan, kesaksamaan dan profesionalisme institusi negara. Laungan kosong semata,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah dalam sebuah kenyataan media.

Menempelak tindakan itu, Kit Siang turut mempersoal ketelusan polis dalam menjalankan tugas apabila langsung tidak mengambil sebarang tindakan terhadap individu dari UMNO/BN yang lebih terbukti bersalah.

“Rakyat tertanya mengapa bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad langsung tidak pernah dipanggil untuk disoal? Mahathir sepatutnya ditahan kerana beliau terbukti bersalah kerana membuat pelbagai kenyataan berbaur hasutan sebelum, semasa dan selepas Pilihan Raya Umum.

“Mengapa orang yang sengaja mengeluarkan kenyataan menjejaskan keharmonian negara seperti Mahathir tidak pula ditahan?

“Rakyat juga ingin tahu mengapa bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Noor Abdullah tidak pernah dipersoalkan apatah lagi ditahan ke dalam lokap?, beliau telah membuat ucapan paling rasis apabila memberi amaran bahawa kaum Cina akan menerima balasan dari Melayu kerana melakukan ‘pengkhianatan’ dalam PRU lalu,” soalnya.

Kata Kit Siang, penahanan ini juga membuktikan UMNO/BN tetap tidak pernah berubah dengan sering menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri sendiri.

“Penahanan Husam, dengan jelas menunjukkan bahawa pendakwaan terpilih, layanan diskriminasi, penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah terus menjadi taktik mereka sehingga hari ini,” ujarnya. – Roketkini.com