Berita

Jerebu: Bukan sahaja Indonesia, Malaysia juga mesti bertindak

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendesak agar dakwaan Menteri Alam Sekitar Indonesia, Balthasar Kambuaya yang mendedahkan wujud lapan syarikat milik rakyat Malaysia yang bertanggungjawab kepada bencana jerebu disiasat sepenuhnya.

“Syarikat-syarikat ini dilaporkan menggunakan cara murah tetapi salah dengan menebang dan membakar hutan bagi kerja-kerja pembersihan kawasan baru ladang mereka.

“Jika benar, bukan sahaja Indonesia, Malaysia juga mesti mendakwa dan menghukum mana-mana syarikat perladangan Malaysia yang telah dibuktikan terlibat dalam jenayah tebang dan bakar untuk mencerahkan hutan untuk ladang-ladang mereka di Sumatera,” desak Guan Eng.

Antara syarikat yang dilapor melakukan kesalahan demikian syarikat PT Tunggal Mitra Plantation iaitu sebahagian daripada Minamas Plantation, anak syarikat kepada Sime Darby Plantation yang berpusat di Malaysia.

Sebuah syarikat lagi ialah PT Adei Plantation, dimiliki oleh Kepong Berhad dan yang lainnya ialah PT Langgam Inti Hibrida, PT Bumi Reksa Nusa Sejati, PT Udaya Loh Denawi, PT Jatim Jaya Perkasa, PT Multi Gambut Industri, dan PT Mustika Agro Lestari.

“DAP telah maklum bahawa Sime Darby Plantations Bhd telah mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan kerajaan Indonesia ini.

“Pada masa yang sama DAP berharap agar pihak kerajaan Indonesia juga tidak cuba untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalan mereka mencegah pembakaran terbuka sedemikian oleh syarikat perladangan Indonesia dan pengusaha kecil dengan menyalahkan syarikat Malaysia yang tidak bersalah semata-mata,” ujarnya.

Pun demikian, Guan Eng mahu dakwaan serius terhadap Sime Darby disiasat secara terperinci memandangkan Sime Darby adalah sebuah syarikat GLC yang dimiliki kerajaan Malaysia.

“Tuduhan serius ini boleh merosakkan reputasi antarabangsa Sime Darby dan juga Malaysia.

“Kerajaan Malaysia mesti menghantar pasukan penyiasatnya sendiri untuk memeriksa dakwaan terbabit, dan menghukum mana-mana syarikat Malaysia jika benar mereka terlibat,” katanya lagi. – Roketkini.com